Lelaki maut nahas enam motosikal disyaki lumba haram

Tangkap layar video memaparkan seorang penunggang terbaring di tengah lebuh raya selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan enam motosikal di Parit Buntar. - Foto ihsan pembaca
Tangkap layar video memaparkan seorang penunggang terbaring di tengah lebuh raya selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan enam motosikal di Parit Buntar. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

PARIT BUNTAR - Nahas enam motosikal yang disyaki terlibat dalam kegiatan lumba haram mengakibatkan seorang lelaki maut di Kilometer 187.7, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini pada Ahad.

Penunggang berusia 20 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala lima rakannya mengalami kecederaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, maklumat kejadian itu diterima sekitar jam 1.50 pagi melibatkan enam motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mereka dalam perjalanan dari arah Plaza Tol Alor Pongsu menghala ke Bukit Merah.

"Nahas itu menyebabkan seorang lelaki disahkan meninggal dunia.

"Lima penunggang lain pula telah dirujuk ke Hospital Taiping dan Parit Buntar bagi menerima rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mohd Yusri berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat.

"Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Khairul Hanafi Hanapi di talian 05-7210539/013-6200564," katanya.

Tambah beliau, pengguna jalan raya terutama golongan remaja dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam kegiatan lumba haram.

"Mereka boleh disiasat mengikut Seksyen 42(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun, jika disabitkan kesalahan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!