SD sokong Muhyiddin bukan tindakan khianat BN: Hasni

Hasni - Foto Bernama
Hasni - Foto Bernama
A
A
A

PONTIAN - Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohammad menegaskan tindakan 10 ahli Parlimen menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai tujuan dan sebab yang berbeza.

Pengerusi UMNO Johor itu menjelaskan, sehingga kini dirinya tertanya-tanya di mana elemen pengkhianatan yang telah dilakukannya.

"Saya percaya ramai pihak yang bertanya dan ada yang telah menjawab tentang 10 ahli Parlimen yang tandatangan SD yang sokong Perikatan Nasional (PN).

"Saya hanya boleh katakan bahawa antara 10 itu, kesemuanya mempunyai tujuan berbeza, ada yang tandatangan sebab berpegang kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

"Ada juga sebab "no Anwar, no DAP", ada yang tolak DAP, ada yang tidak setuju dengan Anwar, ia berbeza-beza," katanya yang ditemui pada sidang akhbar selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Kampung Daerah Pontian di Pejabat Daerah pada Ahad.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, beliau sependapat dengan pandangan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang mempersoalkan tentang di mana elemen pengkhianatan tersebut.

"Di mana elemen pengkhianatan? Tiada elemen pengkhianatan. Cuma kalau kita dengar cakap sesetengah pihak, saya percaya kita harus lihat soal struktur parti.

"Saya harap pucuk pimpinan parti melihat kepada isu SD dalam konteks yang boleh menambah kekuatan parti. Saya tidak lihat mereka yang tandatangan SD itu mahu melemahkan parti.

Artikel Berkaitan:

"Jika dilihat hanya seorang dua sahaja ahli Parlimen terlibat yang buat kenyataan. Ini kerana jika kenyataan dibuat ia akan mengurangkan peluang untuk parti menang enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan," katanya.

Pada Khamis, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan sedia memaafkan 10 ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) termasuk partinya yang menandatangani SD bagi menyatakan sokongan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas PRU15 lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan, beliau bersama-sama Lembaga Disiplin UMNO akan tetap memantau pergerakan ahli-ahli Parlimen terlibat sama ada mereka melakukan mana-mana gerakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!