Penoreh tertekan berdepan penyakit luruhan daun
Laporan Khas penoreh getah
JEMPOL- " Sudahlah harga getah turun mendadak, nasib kami penoreh getah ini diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga apabila berdepan penyakit luruhan daun pada pokok getah (pestalotiopsis) sejak lima tahun lalu,".
Itu antara luahan seorang penoreh getah di Felda Palong 9, Othman Parman, 66, apabila ditanya mengenai keadaannya ketika ini yang jelas kecewa kerana ia bagaikan isu tiada kesudahan.
"Saya mula menanam pokok getah pada tahun 2010 dan penyakit daun luruh menyerang sekitar tahun 2018 sehingga kini, jadinya penghasilan getah makin kurang.
"Kualitinya tidak baik, bulan ini sahaja baru 100 kilogram (kg) kita hantar ke pusat mengumpul getah (PMG) daripada keseluruhan kebiasaannya 500kg menjelang hujung bulan.
"Tetapi dah ada masalah daun gugur, harga getah lantun pula sekilogram antara RM2 hingga RM2.50 berubah-ubah ikut keadaan semasa. Kalau dapat capai 500kg pun, tolak pula hutang. Tinggal berapalah untuk tampung perbelanjaan keluarga," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Katanya, dalam tempoh dua tiga hari ini hujan termasuk hari ini menyebabkannya tidak dapat ke kebun.
"Ialah walaupun kita tahu pendapatan berapa sangatlah kalau menoreh. Tidak setimpal dengan keringat yang kita curahkan, nak tak nak terpaksa juga ke kebun.
"Dalam setahun empat ke lima kali gugur mengakibatkan susu getah merosot, hampir 40 peratus hasil pendapatan berkurangan.
"Kita mahu pemimpin dan kerajaan faham akan keperitan yang dihadapi peneroka Felda antaranya yang punca pendapatannya menoreh getah, janganlah dipandang sepi. Ambillah tindakan sewajarnya dan pantas untuk membantu golongan penoreh getah," katanya.
Media sebelum ini melaporkan disebabkan kejatuhan mendadak harga getah di pasaran menyebabkan golongan penoreh di negara ini semakin tersepit.
Ia ditambah pula dengan perubahan cuaca tidak menentu serta peningkatan kos sara hidup ketika ini sehingga menjejaskan pendapatan mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!