Melaka peruntuk RM880,000 sumbangan perayaan tahun ini

Kerajaan Melaka memperuntukkan RM232,000 kepada 1,160 penerima beragama Buddha terpilih sempena sambutan Tahun Baharu Cina ini. - Foto Bernama
Kerajaan Melaka memperuntukkan RM232,000 kepada 1,160 penerima beragama Buddha terpilih sempena sambutan Tahun Baharu Cina ini. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR GAJAH - Kerajaan Melaka memperuntukkan RM880,000 untuk diagihkan sebagai sumbangan sempena perayaan bagi tahun ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata, daripada jumlah itu RM232,000 akan diberikan kepada 1,160 penerima beragama Buddha terpilih sempena sambutan Tahun Baharu Cina ini.

"Program Sumbangan Bantuan Perayaan Negeri Melaka menerusi Tabung Amanah Kebajikan Negeri Melaka itu, akan diagihkan mengikut daerah. Pada hari ini, kita agihkan kepada 225 penerima yang dipilih oleh jawatankuasa penyelaras bagi Parlimen Masjid Tanah.

"Bukan itu sahaja, semua wakil rakyat juga akan turut memberikan sumbangan malah menambahnya mengikut kesesuaian di kawasan masing-masing,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Perayaan Tahun Baharu Cina di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Lendu, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin; Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Melaka Burhanuddin Bachik.

Sulaiman berkata, pemberian sumbangan tersebut bagi meringankan beban golongan kurang bernasib baik seperti warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Sementara itu, kerajaan negeri akan terus mengalakkan rakyat mengamalkan penjarakan fizikal terutama pada sambutan Tahun Baharu Cina minggu hadapan meskipun kerajaan Persekutuan tidak mewajibkan perkara tersebut.

"Begitu juga dengan pemakaian pelitup hidung dan mulut kerana ia mendatangkan kebaikan terutama di kawasan orang ramai dan tertutup.

Artikel Berkaitan:

"Jika nanti Kementerian Kesihatan mewajibkan semula pemakaiannya, rakyat kena ikut memandangkan sekarang kita sudah mula menerima ramai pelancong dari luar. Jadi, eloklah ia diambil sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!