Anak lemas, tak sampai hati tolak ajakan ke pantai

Norizan berwajah sugul menunjukkan gambar Muhammad Hanif Nurhaqim.
Norizan berwajah sugul menunjukkan gambar Muhammad Hanif Nurhaqim.
A
A
A

BACHOK - Seorang ibu tidak menyangka gelagat dua anak yang beria-ia mahu ke pantai pada musim tengkujuh menjadi petanda ajal apabila seorang daripada mereka lemas.

Dalam kejadian jam 5.30 petang Sabtu itu, anak bongsu daripada dua beradik tersebut, Muhammad Hanif Nurhaqim Amran, 11, disahkan meninggal dunia selepas jasadnya ditemukan dalam keadaan terapung pada di Pantai Kemayang di sini.

Ibu mereka, Guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), Sekolah Kebangasaan Bukit Marak Norizan Said, 50, berkata, dua anaknya, Muhammad Hanif Nurhaqim dan Muhammad Hanif Lokman, 12, bersungguh-sungguh mengajak bapa mereka, Amran Hassan, 54, ke pantai itu sejak Jumaat lalu.

“Kami memang sebulan sekali akan ke pantai untuk beriadah tetapi tidak pergi pada musim tengkujuh. Mereka ajak pergi hari Jumaat itu, tetapi bapanya kata ada kerja lain perlu dilakukan.

Norizan (tengah) dikunjungi polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok pada Ahad.
Norizan (tengah) dikunjungi polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok pada Ahad.

“Namun pada hari Sabtu, anak-anak sekali lagi mengajak ke pantai dengan bersiap-siap menunggu di luar rumah. Tak sampai hati tengok mereka, akhirnya setuju juga bawa ke pantai,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah mereka di Pauh Sembilan di Bachok pada Ahad.

Menurut Norizan, Amran duduk di atas batu di tepi pantai sambil mengawasi anak-anak yang sebelum menyedari kedua-duanya lemas dihanyutkan ombak.

“Suami sempat tengok, abang pegang tangan adiknya. Dia terus terjun untuk menyelamatkan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Kebetulan ada orang awam lelaki yang meminta suami naik manakala dia berenang mengambil anak yang sulung.

“Waktu itu, anak saya memangil-manggil adiknya: ‘adik saya, adik saya’ tetapi tangannya tak sempat nak dicapai,” katanya.

Norizan berkata, dia yang berada di rumah menerima panggilan telefon daripada suami yang memberitahu berhubung kejadian itu.

“Suami beritahu adik dah tak ada.

“Kami amat bersedih tetapi tetap reda dengan pemergian mengejut ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaludin berkata, jasad Muhammad Hanif Nurhaqim ditemui terapung oleh orang awam di kawasan pantai tersebut pada jam 6.46 petang selepas hilang lebih sejam.

“Mangsa dijumpai sejauh kira-kira 200 meter dari tempat dia dipercayai lemas namun sudah meninggal dunia.

“Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!