Selangor bakal iktiraf wakil rakyat BN
GOMBAK - Pakatan Harapan (PH) Selangor akan mengiktiraf lima wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sebagai sebahagian daripada komponen pentadbiran kerajaan negeri.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara tersebut akan dimuktamadkan dalam masa terdekat antara satu ke dua minggu lagi selepas beberapa perkara diselesaikan.
Menurutnya, kolaborasi antara PH dan BN akan menjadikan pentadbiran Selangor semakin kukuh melalui kelebihan majoriti dua pertiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
"Dengan ini, kita akan mempunyai antara 46 ke 47 wakil rakyat daripada kerajaan. Semoga kita dapat bersama-sama membuat keputusan yang baik untuk rakyat, selari dengan semangat perpaduan di peringkat pusat.
"Saya saran kita bergerak secara berpasukan di peringkat akar umbi dan jangan hanya harapkan kepada Perdana Menteri dan menteri sahaja.
"Kita tidak mahu hanya menang dengan jumlah yang ramai, tetapi mesti mempunyai keupayaan berfikir ke arah penyelesaian yang membawa Selangor ke arah yang lebih baik," katanya ketika berucap ketika Majlis Serahan Sumbangan dan Bantuan DUN Sungai Tua di Dewan Terbuka Batu Caves pada Ahad.
Keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu menyaksikan komponen PH terdiri Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menang 51 kerusi, BN dengan empat kerusi dan Pas dengan satu kerusi.
Bagaimanapun pada Mac 2020, Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor mengumumkan wakil rakyat Bersatu bukan lagi sebahagian dalam komponen PH di Selangor susulan krisis politik di peringkat pusat.
Lima wakil rakyat BN di Selangor adalah ADUN Sungai Air Tawar, Rizam Ismail; ADUN Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin; ADUN Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar; ADUN Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias dan ADUN Semenyih, Zakaria Hanafi (yang menang semasa PRK).
Dalam pada itu, Amirudin yang juga Naib Presiden PKR berkata, pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas PRU15 lalu adalah hasil daripada kematangan pimpinan tertinggi yang duduk semeja bagi penubuhan kerajaan stabil dan kukuh.
"Insya-ALLAH, Kerajaan Perpaduan akan titipkan nilai musyawarah dan telah meletakkan garis panduan yang jelas dan perlu dipatuhi berkenaan kedudukan Raja Melayu dan Islam serta sistem perlembagaan.
"Kita buat perjanjian terbuka supaya dasar itu jelas dan tidak timbul isu. Semua telah turunkan tandatangan dan setuju.
"Walaupun ada perbezaan dalam soal politik, tapi kita letak tepi buat sementara dan cari titik persamaan kerana sekarang kita perlukan negara yang stabil, tidak berpecah belah dan bersatu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!