Yamaguchi tamat penantian 55 tahun Jepun

Yamaguchi bersama pingat dan piala kemenangan selepas muncul juara perseorangan wanita Terbuka Malaysia 2023. - Foto Bernama
Yamaguchi bersama pingat dan piala kemenangan selepas muncul juara perseorangan wanita Terbuka Malaysia 2023. - Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN nombor satu dunia, Akane Yamaguchi menamatkan penantian 55 tahun Jepun untuk meraih kembali gelaran juara perseorangan wanita di Terbuka Malaysia 2023 selepas menundukkan wakil Korea Selatan, An Se Young pada Ahad.

Kejayaan juara dunia berusia 25 tahun itu menjadikan beliau pemain kedua Jepun yang memenangi gelaran juara selepas bekas juara Sukan Asia, Hiroe Yuki pada 1968.

Pada aksi final berlangsung di Axiata Arena hari ini, Yamaguchi yang ketinggalan 12-21 pada set pertama, bangkit pada set kedua 21-19, sebelum menidakkan hasrat Se Young bergelar pemain Korea Selatan pertama melakar sejarah di Terbuka Malaysia dengan kemenangan 21-11.

"Se Young bermain dengan baik di set pertama tapi saya bermain lebih baik untuk mengatasinya pada set kedua dan ketiga kelihatan, dia sudah keletihan.

"Saya sangat gembira memenangi kejohanan ini, selepas tiada pemain Jepun melakukannya setelah sekian lama. Saya tiada sasaran khusus untuk tahun ini tapi mahu bermain sebaik mungkin,” kata Yamaguchi yang mencipta kemenangan ke-10 selepas 15 pertemuan kedua-dua pemain itu.

Yamaguchi membawa pulang hadiah wang tunai AS$87,500, manakala naib juara AS$42,500.

Sementara itu, meskipun tidak dapat memenuhi hasrat meraih gelaran juara untuk pemain idolanya, Ratchanok Intanon dari Thailand, Se Young tetap positif untuk terus belajar dan memperbaiki kelemahan hari ini.

"Ini adalah kejohanan pertama untuk tahun ini, walaupun saya tidak menang tapi mara ke final adalah pencapaian yang bagus. Permulaan yang baik untuk tahun ini,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!