PAU 2022: Tidak wajar pertikai keputusan perwakilan

Mohd Dendera
Mohd Dendera
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan perwakilan UMNO untuk tidak mengadakan pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti harus dihormati dan tidak dipertikaikan.

Ketua Pemuda UMNO Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri berkata, keputusan itu tidak dibuat secara membuta tuli sebaliknya telah diteliti secara secara mendalam demi survival UMNO.

Menurutnya, kebanyakan perwakilan menyokong keputusan tersebut supaya kepimpinan dapat memberikan fokus kepada pembangunan dan pemerkasaan parti bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

"Dengan situasi di mana UMNO kalah dan banyak hilang kerusi semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tidak wajar bagi kita untuk mewujudkan lebih banyak lagi perpecahan, sedangkan usaha sepenuhnya wajar diberikan kepada proses rekonsiliasi dan penyatuan dalaman parti.

"Secara tuntasnya, pada ketika ini ahli UMNO diseru untuk terus kekal istiqamah dalam perjuangan dan menghentikan sebarang sengketa dalaman yang boleh mengganggu gugat penyatuan UMNO yang amat diperlukan pada ketika ini," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Pada Sabtu, Pesidangan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) meluluskan usul tambahan supaya dua jawatan tertinggi parti (Presiden dan Timbalan Presiden) dikekalkan dan tidak dicabar pada pemilihan tahun ini.

Ia selepas selepas semua usul yang dibawa oleh perwakilan UMNO dari negeri di seluruh Malaysia termasuk usul tambahan tersebut diterima dan disokong oleh hampir semua perwakilan dalam Dewan Merdeka.

Mohd Dendera berkata, UMNO adalah sebuah parti yang berteraskan demokrasi dan sewajarnya secara keputusan yang dibuat secara konsensus itu wajar dihormati oleh semua pihak.

Artikel Berkaitan:

"Sungguhpun perkara ini telah dipersetujui oleh majoriti perwakilan UMNO yang hadir, terdapat juga segelintir pihak yang mempertikaikan tindakan parti ini untuk menangguhkan pemilihan dua jawatan tersebut.

"Majoriti perwakilan yang telah memilih untuk tidak diadakan pemilihan adalah suara majoriti perwakilan PAU 2022.

"Tidak wajar bagi pemimpin, ahli, pemerhati ataupun sesetengah masyarakat umum untuk mempertikaikan keputusan yang telah dibuat," katanya.

Ujarnya, kesemua perwakilan memahami kesan daripada keputusan dibuat di dalam PAU 2022 tersebut.

Tambah beliau, ketika pentadbiran negara sedang dalam fasa pembinaan semula dan UMNO pula berada di posisi penting dalam tampuk pemerintahan negara, tumpuan harus diberikan kepada kestabilan bagi membangunkan semula negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!