Ewon guna pendekatan kepimpinan berdiplomasi terajui UPKO

Ewon bergambar bersama ahli-ahli Pergerakan Wanita, Pemuda dan Generasi Muda UPKO pada mesyuarat tritahunan ke-16 UPKO di Dewan Gawir Penampang pada Sabtu.
Ewon bergambar bersama ahli-ahli Pergerakan Wanita, Pemuda dan Generasi Muda UPKO pada mesyuarat tritahunan ke-16 UPKO di Dewan Gawir Penampang pada Sabtu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang baharu, Datuk Ewon Benedick berazam menggunakan pendekatan kepimpinan berdiplomasi dalam meneruskan perjuangan parti itu.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, bagi menjayakannya, semua ahli parti diajak supaya peka terhadap semua isu, bijak menganalisis, memikir dan menjiwai setiap cabaran yang dihadapi UPKO.

"Saya akan meneruskan kepimpinan sebelum ini dengan memperkasakannya melalui pendekatan kepimpinan berdiplomasi yang perlu didukung bermula dari rumah kita UPKO kerana saya percaya setiap kepimpinan bermula dari rumah.

"Segala keputusan yang dibuat mestilah dipertahankan berasaskan kepada amalan menjunjung yang benar, menyangkal yang salah dan meneruskan apa yang wajar,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO ke-16 secara dalam talian, di sini pada Ahad.

Bagaimanapun, beliau memberikan jaminan pendekatan yang diamalkan itu akan selari dengan amalan presiden parti sebelum ini, antaranya Tan Sri Bernard Dompok dengan kepimpinan berorentasikan prinsip, dan Datuk Seri Madius Tangau dengan kepimpinan berteraskan akar umbi.

Beliau yang dilantik secara rasmi menjadi Presiden UPKO pada Ahad menggantikan Madius yang menjadi Presiden Kehormat UPKO, turut bersedia menerima sebarang kritikan berhubung kepimpinannya daripada ahli UPKO.

"Saya menghargai setiap teguran dan kritikan yang disertai dengan cadangan serta motivasi kerana itu cara yang betul untuk memperbetulkan kelemahan,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga berhasrat menjalinkan hubungan dengan parti lain yang mempunyai asas perjuangan sama terutamanya melibatkan kepentingan Sabah dan mempelawa bekas ahli parti UPKO, kembali menyertai parti itu demi mengukuhkannya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!