Razlan saran Ramasamy jaga parti sendiri
SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Rafii menyelar kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy yang mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai beban kepada UMNO dan Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, dalam fasa 'memandang ke hadapan' dengan landskap politik baharu di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan hari ini, Ramasamy tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas.
Ini kerana menurutnya, imej Ahmad Zahid yang dilihat ketika ini adalah 'ciptaan' dan ia perlu diperbetulkan.
"Sebenarnya apa pun imej terdapat hari ini adalah ciptaan kerajaan atok (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan diteruskan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Jadi imej sebegini perlu dibetulkan dan sepatutnya penganiayaan politik perlu dikaji agar tiada lagi orang teraniaya.
"Saya cadangkan dia (Ramasamy) elok jaga parti sendiri. Jangan bawa sikap orang tua lama dalam DAP sebab semua rakyat Malaysia hari ini mahu melihat dan mengharapkan pembaharuan.
"Jika masih mahu teruskan perangai lama DAP, saya rasa bukan orang Melayu sahaja tidak suka, tetapi semua orang (tak suka) kerana terlampau rasis dan bercakap tanpa asas," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Ramasamy yang mendakwa Ahmad Zahid sebagai beban kepada Kerajaan Perpaduan dan menjadi duri dalam daging bagi UMNO.
Ini selepas Persidangan Agung UMNO (PAU) 2022 pada Sabtu telah meluluskan usul jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti pada Mei nanti.
Sehubungan itu juga, Ramasamy turut mempersoalkan sama ada PH dan UMNO mampu menarik sokongan Melayu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Mengulas lanjut, Razlan optimis bahawa orang Melayu akan melihat kebenaran dan kembali menyokong UMNO.
"Insya-ALLAH kita yakin apabila kita buat kerja untuk meletakkan realiti sebenar, kita tahu ini adalah kezaliman yang dilakukan kepada Ahmad Zahid dan perkara itu selesai, orang Melayu akan kembali melihat kebenaran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!