Hargai pengorbanan isteri, jauhi kecurangan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PERKAHWINAN membolehkan pasangan suami isteri menikmati kebahagiaan dalam kehidupan rumah tangga.

Malangnya sejak kebelakangan ini, isu kecurangan rumah tangga hangat diperkatakan di media-media sosial. Kecurangan juga bukanlah sesuatu yang baharu, malah telah banyak rumah tangga musnah angkara perilaku tidak berfaedah berkenaan sebelum ini.

Pasangan mana yang mahu suami atau isteri mereka curang, tetapi apabila berlaku kecurangan ramai yang tertanya-tanya kenapa ia boleh berlaku. Isteri yang cantik seperti model atau suami yang kaya juga tidak terlepas menjadi mangsa kecurangan pasangan.

Dalam buku Why Do Men Cheat karya Randy Wallace, penulis cuba menjelaskan kepada golongan wanita bahawa lelaki bersikap curang kerana itu yang lelaki mahukan. Kenyataan ini barangkali pahit untuk ditelan oleh kaum Adam tetapi itulah hakikatnya bagi sesetengah kes kecurangan suami. Sebagai lelaki, salah satu cara yang boleh kita lakukan untuk menghindari kecurangan adalah dengan mengingati pengorbanan seorang wanita bergelar isteri dan ibu kepada anak-anak kita setiap kali bisikan jahat untuk curang terlintas di fikiran.

Ingatlah pengorbanan isteri sejak awal pagi lagi telah bangun untuk menyediakan sarapan sedangkan kita masih lena di atas katil. Selepas menyiapkan anak-anak, mereka pergi menghantar anak-anak ke sekolah sebelum menempuh kesesakan lalu lintas ke tempat kerja.

Setibanya di rumah selepas habis bekerja, tugasan si isteri belum berakhir. Kerja rumah seperti memasak, mengangkat dan melipat pakaian menanti sedangkan si suami biasanya hanya berehat menonton televisyen di ruang tamu.

Pakaian kotor juga perlu dibasuh selain menyiapkan juadah makan malam. Pada tengah malam pula, apabila anak kecil menangis dan meragam, si isteri hampir sepanjang malam tidak tidur menjaga anak-anak.

Tiada apa yang isteri harapkan sebagai balasan pengorbanan mereka selain kesetiaan si suami. Bukanlah pengorbanan mereka dibalas dengan mencari wanita lain setelah berjaya dalam kerjaya atau sudah mempunyai wang lebih.

Artikel Berkaitan:

Hargai isteri ketika kasih sayangnya masih kuat kepada kita. Usah pada satu masa, cinta dan kasih mereka sudah pudar angkara kecurangan kita, baru kita hendak menghargai pengorbanan mereka. Ketika itu pujuk rayu kepada mereka tidak lagi bermakna.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!