Bukti lemah punca sukar dakwa 'orang ketiga’

Laporan khas Sinar Ahad pada 15 Januari. Gambar kecil: Mohd Na'im (Foto Bernama)
Laporan khas Sinar Ahad pada 15 Januari. Gambar kecil: Mohd Na'im (Foto Bernama)
A
A
A

SHAH ALAM - Kegagalan suami atau isteri mengemukakan bukti yang kukuh menyebabkan perosak rumah tangga atau dikenali sebagai ‘orang ketiga’ dalam sesebuah perkahwinan sukar didakwa di Mahkamah Syariah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pembuktian yang kuat diperlukan bagi menyokong kes pendakwaan terhadap individu yang didakwa sebagai ‘orang ketiga’.

“Bukti tersebut melibatkan dokumentasi seperti mesej perbualan, e-mel, surat termasuklah saksi yang mendengar.

“Atas sebab isu pembuktian inilah kita jarang mendengar ‘orang ketiga’ didakwa di mahkamah-mahkamah syariah walaupun ia diperuntukkan dalam undang-undang,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Menurut Mohd Na’im, terdapat beberapa peruntukan undang-undang kesalahan syariah yang berkaitan dengan ‘orang ketiga’ iaitu Seksyen 36, 37 dan 38 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (WP) 1997 (Akta 559).

Beliau menjelaskan, Seksyen 36, 37 dan 38 Akta 559 menggunakan frasa ‘mana-mana orang’ bermaksud sesiapa sahaja yang memujuk lari isteri orang, menghalang suami isteri daripada hidup bersama atau menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajiban boleh didakwa.

“Siasatan yang telah dilengkapkan oleh bahagian penguatkuasaan akan dihantar ke Jabatan Pendakwaan Syariah untuk dibuat keputusan sama ada boleh diteruskan pendakwaan di Mahkamah Syariah atau perlu dibuat siasatan lanjut.

“Dalam mana-mana pertuduhan jenayah, terdapat beberapa elemen yang perlu dibuktikan oleh pendakwa.

Artikel Berkaitan:

“Isu yang timbul dalam kes-kes di bawah Seksyen 36, 37 dan 38 ini adalah berkaitan dengan pembuktian dan kecukupan keterangan untuk pensabitan seperti perbuatan atau percakapan yang menghalang pasangan daripada hidup bersama, menghasut atau memaksa mahupun memujuk,” ujarnya.

Beliau menambah, undang-undang berkaitan poligami digubal khusus bagi menjaga kepentingan semua pihak. Justeru, setiap perkahwinan sama ada pertama atau kedua perlu mengikut proses perkahwinan yang telah ditetapkan dan perlu didaftarkan di bawah undang-undang di Malaysia.

“Perkahwinan poligami tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana ia dikawal oleh undang-undang.

“Suami ingin berpoligami perlu memohon kebenaran Mahkamah Syariah di tempat dia menetap,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!