Perhati sedia sarapan percuma
SABAK BERNAM - Pertubuhan Suara Rakyat Prihatin Sabak Bernam (Perhati) menyediakan kira-kira 30 makanan percuma setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad kepada anak-anak bersekolah.
Pengerusinya, Mohd Khairulnizam Mohamad Samsuri berkata, program minggu kedua itu dilaksanakan di Restoran Dapur Pak Tam, Taman Perdana, di sini.
Menurutnya, program pemberian makanan percuma bermula dari jam 7 hingga 7.45 pagi itu memasuki hari kelapan sejak pelancarannya, 8 April lalu.
"Kita masih belum mencapai sasaran iaitu 30 murid sekolah dan saya jangka dengan adanya hebahan di media termasuk media sosial hasrat ini dapat direalisasikan.
"Malah, sepanjang perlaksanaan program ini, jumlah mereka yang dapatkan makanan percuma semakin meningkat," katanya.
Mohd Khairulnizam berkata, tujuan program itu dilaksanakan bagi memudahkan ibu bapa membekalkan sarapan pagi kepada anak-anak sebelum ke sekolah.
"Sesiapa saja boleh mendapatkan sarapan percuma tanpa mengira latar belakang, asalkan anak-anak ini dapat bersarapan pagi," katanya.
Menurutnya, program itu secara tidak langsung meringankan kos dan tanggungan perbelanjaan ibu bapa.
"Kita menyediakan makanan berharga antara RM2 hingga RM3 sehari termasuk air mineral," katanya.
Katanya, pihaknya dijangka meneruskan program pemberian makanan percuma sehingga Ramadan ini.
"Jika ada permintaan terhadap program ini, kita akan meneruskan program ini sehingga akhir tahun ini.
"Malah, kerajaan pada tahun depan akan menggunakan hasil daripada cukai gula bagi menyediakan sarapan percuma dan sihat kepada murid sekolah rendah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!