PKR kenal pasti, muktamad calon PRN dalam dua minggu lagi

Rafizi (lima dari kanan) ketika hadir Konvensyen Pilihan Raya Negeri 2023, di Seremban pada Ahad.
Rafizi (lima dari kanan) ketika hadir Konvensyen Pilihan Raya Negeri 2023, di Seremban pada Ahad.
A
A
A

SEREMBAN - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli memaklumkan parti itu mengekalkan untuk mengumumkan calonnya lebih awal pada pilihan raya negeri (PRN) ini seperti mana dilakukan pada pilihan raya umum (PRU) yang lepas.

Malah beliau turut menjelaskan, pihaknya akan memulakan proses mengenal pasti dan memuktamadkan calon-calon mereka yang akan bertanding pada PRN melibatkan enam buah negeri dalam tempoh dua minggu lagi.

"Ia adalah pendirian parti dan juga Jabatan Pilihan Raya PKR daripada PRU yang lepas. Bagaimanapun, keputusan itu akan mengambil kira rundingan kerjasama yang akan turut dimuktamadkan bersama Barisan Nasional (BN).

"Di peringkat PKR, seberapa mana dalam kawaalan kami, sebaik sahaja selepas sambutan Tahun Baharu Cina, kami akan memulakan proses pencalonan, saringan dan sebagainya kerana proses itu membabitkan pandangan semua pihak dan akan ambil sedikit masa," katanya pada sidang akhbar selepas selesai Konvensyen Pilihan Raya Negeri 2023 di sini pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun merangkap Naib Presiden PKR.

Rafizi turut menegaskan, pihaknya akan membuat secara selari dahulu sementara rundingan dengan BN tentang kerjasama pilihan raya itu berjalan.

Sementara itu, ditanya sama ada kesukaran kerjasama antara PH dan BN untuk PRN, Rafizi berkata, kedua-dua pemimpin utama parti di negeri ini iaitu Aminuddin dan Datuk Seri Mohamad Hasan merupakan individu yang senang untuk dibawa berbincang dan taat kepada parti.

Dalam sidang akhbar sama, Aminuddin memberitahu, beliau menjangkakan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada bulan Mei ini bagi memberi laluan kepada PRN.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia berdasarkan perbincangan secara tidak rasmi bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi negeri terlibat berhubung perkara itu sebelum menghadiri perjumpaan Majlis Raja-Raja tempoh hari.

“Pada dasarnya kita setuju bubar pada Mei... itu bermakna PRN dalam Jun atau Julai, kita tak ada masa, tinggal beberapa bulan lagi, jadi kita kena terus bersedia atur langkah bagi memastikan kemenangan kita.

“Lepas pilihan raya, pelbagai andaian dan pandangan sama ada kita bersama Barisan Nasional (BN) atau tidak, itu akan diputuskan dalam waktu terdekat. Harap ada keputusan segera untuk aturkan strategi bersama BN, kita juga nak berikan hak dari segi peruntukan dan sebagainya,” katanya.

Enam negeri yang akan terlibat dengan PRN tahun ini ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!