DUN Negeri Sembilan jangka bubar Mei ini - MB
SEREMBAN - Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dijangka dibubarkan pada Mei ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN).
Naib Presiden PKR itu berkata, ia berdasarkan perbincangan secara tidak rasmi bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi negeri terlibat berhubung perkara itu sebelum menghadiri perjumpaan Majlis Raja-Raja tempoh hari.
“Pada dasarnya kita setuju bubar pada Mei... itu bermakna PRN dalam Jun atau Julai, kita tak ada masa, tinggal beberapa bulan lagi, jadi kita kena terus bersedia atur langkah bagi memastikan kemenangan kita.
“Lepas pilihan raya pelbagai andaian dan pandangan sama ada kita bersama Barisan Nasional (BN) atau tidak, itu akan diputuskan dalam waktu terdekat.
"Harap ada keputusan segera untuk aturkan strategi bersama BN, kita juga nak berikan hak dari segi peruntukan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen PKR Negeri Sembilan di sini malam ini.
Enam negeri yang akan terlibat dengan PRN tahun ini ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Dalam pada itu Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, sebagai Pengarah Pilihan Raya Nasional, beliau akan memastikan parti itu dapat mempertahankan kemenangan Negeri Sembilan pada PRN kali ini.
Rafizi berharap kerjasama politik bersama Barisan Nasional (BN) dapat diputuskan lebih awal supaya parti dapat membuat persediaan menghadapi pilihan raya nanti.
"Ia akan menjadi satu daripada medan untuk menguji bentuk kerjasama dengan UMNO yang saya rasa kalau berjaya dirundingkan dengan baik ia akan menjadi model untuk menguatkan kerjasama Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan," katanya.
Ditanya sama ada kesukaran kerjasama antara PH dan BN untuk PRN, Rafizi berkata, kedua-dua pemimpin utama parti di negeri ini iaitu Aminuddin dan Datuk Seri Mohamad Hasan merupakan individu yang senang untuk dibawa berbincang dan taat kepada parti. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!