Spurs pandang serius insiden penyokong tendang Ramsdale

Insiden Ramsdale (dua dari kiri) ditendang penyokong Spurs pada Isnin. - Foto Agensi
Insiden Ramsdale (dua dari kiri) ditendang penyokong Spurs pada Isnin. - Foto Agensi
A
A
A

TOTTENHAM Hotspur memandang serius insiden penjaga gol Arsenal, Aaron Ramsdale ditendang oleh penyokong selepas The Gunners melakar kemenangan 2-0 pada Isnin.

Pengurusan Spurs yang terkejut dengan kejadian itu akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak situasi sama berulang.

"Kami terkejut dengan tingkah laku penyokong yang cuba menyerang penjaga gol Arsenal, Aaron Ramsdale pada penghujung perlawanan.

"Keganasan dalam apa juga bentuk tidak mempunyai tempat dalam bola sepak," ujar Spurs dalam satu kenyataan.

Kelab juga akan bekerjasama dengan polis untuk menyiasat selain menimbang mengambil tindakan keras termasuk larangan masuk stadium kepada penyokong yang terlibat.

"Kelab sudah menyemak rakaman CCTV (kamera litar tertutup) untuk mengenal pasti penyokong terbabit.

"Mereka juga akan bekerjasama dengan polis, Arsenal dan Ramsdale untuk mengambil tindakan sekeras-kerasnya termasuk larangan memasuki stadium Tottenham Hotspur serta-merta," katanya.

Ramsdale menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya Spurs untuk membantu Arsenal mendahului lapan mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).

Artikel Berkaitan:

Kejayaan itu juga merupakan kemenangan pertama liga di laman lawan sejak 2014.

Terdahulu Ramsdale dilihat bertelagah dengan penyerang Spurs, Richarlison selepas meraikan kemenangan di hadapan gawang golnya selepas tamat perlawanan.

Penyokong kemudiannya melompat melepasi papan pengiklanan di tepi padang dan menendang Ramsdale.

"Penyokong Spurs memberikan saya tekanan sejak babak kedua perlawanan ini.

"Saya juga memberikan mereka tekanan. Saya melakukannya sebagai seorang ahli sukan tetapi peminat memberikan saya tumbukan di belakang," ujar Ramsdale.

Beliau menyifat insiden itu sebagai memalukan kerana ia cuma satu perlawanan bola sepak.

"Kedua-dua barisan pemain cuba membawa saya keluar. Mujur tiada kecederaan serius," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!