Paling meriah selepas tiga tahun secara suram
KOTA BHARU - Ahli Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) kaum Cina menyifatkan Tahun Baharu Cina kali ini paling meriah selepas disambut penuh suram semasa negara berdepan Covid-19.
Wartawan Sin Chew Daily, Ang Wui Chong berkata, walaupun jangkitan itu masih lagi wujud namun masyarakat Tiong Hua dapat meraikan dalam suasana penuh harmoni menerusi pelbagai program.
"Dari awal Januari lagi kami telah menerima banyak jemputan untuk meraikan Tahun Baharu Cina.
"Boleh dikatakan setiap hari, sehingga menjelang 22 Januari ini," katanya semasa ditemui semasa sambutan Tahun Baharu Cina yang dianjurkan oleh Hotel Perdana bersama Kemudi di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Presiden Kemudi, Majidah Ismail dan Penolong Pengurus Eksekutif, Bahrun Ismara Nor.
Ujarnya, sebagai pengamal media, sambutan diadakan pelbagai pihak disambut baik sebagai tanda menghargai mereka yang juga merupakan barisan hadapan dalam melaporkan berita-berita terkini dan benar.
Sementara itu, Majidah berkata, ini merupakan sambutan kali pertama diadakan selepas tiga tahun menyepi disebabkan Covid-19.
"Sambutan ini adalah bagi meraikan rakan-rakan media dari kaum Cina sebagai tanda persahabatan dan semangat perpaduan pelbagai kaum," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!