3.8 juta kenderaan di lebuh raya sempena Tahun Baharu Cina

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 3.8 juta kenderaan dijangka berada di atas lebuh raya di seluruh negara sepanjang cuti perayaan Tahun Baharu Cina bermula hujung minggu ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, dalam usaha memastikan kelancaran trafik serta keselamatan pengguna pada tahap tertinggi sepanjang tempoh berkenaan, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah mengambil beberapa inisiatif.

Antaranya, mengadakan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Op Selamat yang telah bermula Jumaat lepas serta Op Bersepadu yang akan dilancarkan esok bersama Jabatan Pengangkutan Jalan.

"Pengoperasian LLM dan syarikat konsesi juga akan dipertingkatkan kepada 24 jam dengan menambah kakitangan bertugas melibatkan anggota peronda, petugas di plaza tol, anggota RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia) serta anggota Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT).

"Kita juga akan pastikan sistem kutipan tol berfungsi sebaiknya selain menambah lorong bagi mengurangkan kesesakan di plaza tol, ” katanya pada sesi temu ramah bersama Bernama Radio di Wisma Bernama di sini hari ini.

Selain itu, katanya, jentera kembalik turut disediakan di beberapa lokasi terpilih untuk membantu pengguna lebuh raya jika terjadi sebarang kemalangan.

Menurutnya, semua syarikat konsesi lebuh raya juga akan menghentikan kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong, bermula Jumaat ini sehingga Rabu depan bagi mengelak gangguan aliran trafik.

"Kementerian Kerja Raya juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dalam menjayakan kempen keselamatan jalan raya yang akan dilancarkan esok,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Nanta berkata, sebanyak 4,379 korban nahas jalan raya direkodkan di seluruh negara sepanjang Januari hingga September tahun lalu melibatkan 402,626 kes kemalangan.

"Ia merupakan peningkatan sebanyak 36 peratus atau 147, 094 kes kemalangan berbanding tempoh sama pada 2021,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!