SPCAAM cadang bayaran khas perayaan ringankan beban pekerja

SPCAAM mencadangkan bayaran khas perayaan kepada pekerja bagi meringankan kos sara hidup. - Gambar hiasan
SPCAAM mencadangkan bayaran khas perayaan kepada pekerja bagi meringankan kos sara hidup. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) mencadangkan bayaran khas perayaan kepada pekerja bagi meringankan kos sara hidup.

Presidennya, Bro J Solomon berkata, pihaknya yakin langkah itu dapat membantu mengurangkan kesan kewangan yang terpaksa dihadapi oleh pekerja pada setiap kali perayaan.

"Kita berpandangan bahawa beberapa strategi, tindakan dan pendekatan perlu diambil oleh kerajaan dan majikan untuk membantu pekerja diberikan elaun kos sara hidup yang munasabah bagi menangani kenaikan kos secara drastik.

"Salah satu cara yang dimaksudkan adalah dengan mengagihkan bayaran khas sambutan perayaan sebulan gaji kepada setiap pekerja semasa perayaan besar disambut di Malaysia.

"Sudah tiba masanya untuk majikan mempertimbangkan keperluan itu di mana imbuhan khas tersebut boleh diagihkan kepada setiap pekerja semasa perayaan besar

Beliau berkata, meskipun terdapat beberapa majikan dan kerajaan membuat bayaran peruntukan khas sekali setahun namun sesetengah majikan lain memperuntukkan pinjaman atau pendahuluan yang perlu dibayar secara ansuran.

"Ini tidak menyelesaikan masalah. Rukun Negara bukan sahaja harus berpegang kepada prinsip 'Kepercayaan Kepada Tuhan' dan menyediakan tempat ibadat dan pendidikan.

"Tetapi pihak berkuasa perlu memastikan rakyat dan keluarga mereka menyambut perayaan keagamaan dengan penuh bermakna tanpa dibebani dengan beban pinjaman," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, kerajaan boleh membuat peraturan sedemikian untuk satu perayaan besar bagi setiap agama di negara ini.

"Ia bagi memastikan golongan memerlukan tidak membuat pinjaman hanya untuk meraikan majlis bersama keluarga mereka.

"Perayaan keagamaan adalah untuk semua orang dan bukan hanya golongan kaya. Pelaksanaan itu mesti dikuatkuasakan melalui perundangan tertentu," jelasnya.

Menurut beliau, perkara tersebut diamalkan di Indonesia dan imbuhan tersebut adalah usaha untuk memenuhi keperluan pekerja dan keluarga mereka semasa meraikan perayaan besar.

"Berdasarkan Menteri Tenaga Kerja Indonesia, syarat ini wajib dilaksanakan oleh majikan untuk pekerja. Imbuhan itu boleh dibayar kepada pekerja mengikut kontrak pekerjaan, peraturan syarikat, perjanjian kolektif atau adat mereka.

"Sebenarnya di Indonesia, imbuhan tersebut mesti dibayar selewat-lewatnya tujuh hari sebelum hari perayaan agama," ujarnya.

Justeru, beliau menyeru kerajaan melaksanan perkara itu dengan memperkenalkan undang-undang khusus berkaitan pembayaran khas perayaan kepada pekerja Malaysia dan ia perlu dipatuhi oleh majikan.

"Dengan segera, kerajaan boleh menguatkuasakan perkara itu di semua GOC dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) mereka.

"Kita yakin pelaksanaan kemudahan itu tidak akan menjejaskan kos operasi majikan, sebaliknya dapat meningkatkan produktiviti pekerja dan syarikat," katanya.

Ujar beliau, malah inisiatif berkenaam akan mengeratkan hubungan antara majikan dan pekerja sekali gus mewujudkan hubungan harmoni di tempat kerja.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!