Perhilitan teruskan operasi tangkap gajah liar

Laporan insiden kematian remaja Orang Asli di Kampung Tual, Pos Sinderut, Lipis, Pahang akibat diserang gajah liar pada 9 Januari lalu.
Laporan insiden kematian remaja Orang Asli di Kampung Tual, Pos Sinderut, Lipis, Pahang akibat diserang gajah liar pada 9 Januari lalu.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang akan meneruskan operasi tangkapan gajah sehingga 19 Januari ini.

Ia susulan insiden kematian remaja Orang Asli di Kampung Tual, Pos Sinderut, Lipis, Pahang akibat serangan haiwan liar tersebut pada 9 Januari lalu.

Pengarahnya, Rozidan Md Yasin memberitahu, hasil cerapan pada 12 Januari lalu mendapati gajah tersebut telah bergerak dari Pos Betau merentasi Jalan Sungai Koyan–Cameron Highlands dan kembali ke kompleks hutan utama Hutan Simpan Ulu Jelai.

Menurutnya, sehingga Isnin, pemantauan masih diteruskan di Pos Sinderut, Pos Lenjang, Pos Betau, Pos Pantos dan Kampung Keledek, Lipis.

"Tiada petunjuk atau aduan kehadiran gajah terbaru di lokasi yang terlibat. Jabatan Perhilitan akan meneruskan operasi tangkapan sehingga 19 Januari ini.

"Operasi tangkapan akan ditamatkan seandainya tiada kesan atau aduan kehadiran gajah baharu. Namun, kumpulan pemantau masih meneruskan pemantauan situasi pergerakan gajah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ujar beliau, sebelum ini Perhilitan Pahang telah menggerakkan operasi bagi menangkap gajah liar yang dipercayai telah menyerang mangsa.

"Operasi tangkapan ini bermula pada 10 Januari lalu dan dianggotai oleh 16 kakitangan Jabatan yang terdiri daripada kakitangan Jabatan

Artikel Berkaitan:

Perhilitan Pahang dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah.

"Kakitangan telah dibahagikan kepada dua kumpulan tangkapan dan satu kumpulan pemantau pergerakan gajah," tambah beliau.

Jelas Rozidan, pemantauan pergerakan gajah dilakukan pada waktu malam dan awal pagi manakala penjejakan gajah akan dijalankan oleh kumpulan tangkapan pada siang hari berdasarkan kesan terbaharu yang dicerap oleh kumpulan pemantau.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan jabatan tersebut akan bekerjasama dalam meningkatkan kefahaman dan kesedaran berhubung langkah-langkah keselamatan dan usaha mitigasi yang sesuai dijalankan di kawasan penempatan masyarakat Orang Asli.

"Orang ramai juga disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar.

"Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Pejabat Perhilitan terdekat atau melalui talian hotline Perhilitan,1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web, www.wildlife.gov.my," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!