PRN: BN Selangor yakin agihan kerusi dibuat secara adil
SHAH ALAM - Calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor tidak lama lagi hanya akan diputuskan pucuk pimpinan tertinggi parti berkenaan.
Ketua UMNO bahagian dan wakil rakyat BN di negeri itu juga yakin jumlah kerusi akan diagihkan dengan adil antara BN dan parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) kini dalam gabungan sama.
Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari menjangkakan tidak berlaku pertembungan bagi gabungan parti besar khususnya membabitkan calon PH Selangor dan BN negeri itu.
"Tidak akan ada pertembungan, akan ada perbincangan dan formula tentang pengagihan kerusi dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat tertinggi agar calon tidak bertembung sesama sendiri.
"Idealnya begitulah kerana jika parti besar berpecah seperti berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15, tidak ada parti yang 'solid' boleh menubuhkan kerajaan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sementara itu, turut sependapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Zakaria Hanafi yang berkata, apa sahaja keputusan tidak boleh melangkaui keputusan pemimpin tertinggi parti.
Menurutnya, penjajaran politik baharu antara PN dan BN di peringkat negeri juga masih belum diputuskan kerana usia gabungan Kerajaan Perpaduan baru sahaja berusia dua bulan.
"Masing-masing ada pendapat sendiri namun sebagai ahli parti di peringkat bawah kita sepatutnya menyerahkan setiap keputusan kepada pemimpin parti di peringkat negeri dan pusat," katanya.
Sehubungan itu, dua pemimpin terbabit meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara terbabit sehingga diputuskan pimpinan PH dan BN kelak.
Pada Ahad, PH Selangor dijangka mempertahankan semua 40 kerusi dimenangi gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) biarpun kini bekerjasama dengan BN.
Perkara itu dinyatakan Ahli Jawatankuasa Pimpinan Pusat Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Sany Hamzan berhubung PRN di Selangor yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.
ADUN Taman Templer itu berkata, setakat ini beliau difahamkan PH tidak akan memberi laluan kepada BN di kerusi dimenanginya pada 2018.
Sebagai rekod, bagi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), pada PRU13, BN hanya menang 12 daripada 56 kerusi DUN, berbanding 20 yang dimenangi pada PRU12 dan jumlah itu menurun lagi kepada lima sahaja pada PRU14 termasuk DUN Semenyih yang dimenangi dalam Pilihan Raya Kecil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!