[VIDEO] Smart SBBA tingkat pendapatan 69 asnaf
YAN - Seramai 69 asnaf berjaya meningkatkan pendapatan sehingga kira-kira RM2,900 sebulan melalui pelaksanaan Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (Smart SBBA) membabitkan 211 hektar penanaman padi di sini sejak tahun lalu.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Norizan Ghazali berkata, program diterajui Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Kampung Padang Lumat itu berjaya menghasilkan tujuh tan metrik padi per hektar semusim.
Beliau yang juga Pengerusi LZNK berkata, kejayaan itu berjaya dicapai hasil pengurusan ladang yang cekap, penggunaan teknologi, kelengkapan jentera dan peralatan lengkap memudahkan kerja-kerja penanaman.
"Smart SBBA ini meliputi 211 hektar sawah yang dimaju dan diusahakan seramai 69 orang golongan asnaf serta semua aktiviti di sawah ini bukan sekadar menanam tetapi menguruskan dan memandu jentera, semua diuruskan mereka," katanya ketika melancarkan Majlis Menuai Padi Musim 1/2023 Smart SBBA di sini pada Isnin.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Zakaria Othman.
Jelas Norizan, hasil pendapatan diterima setakat ini berjaya menaik taraf kehidupan golongan asnaf.
"Hajat LZNK suatu amsa nanti supaya mereka ini akan keluar menjadi pembayar zakat dan pengusaha penanaman padi.
"Kita akan menilai keupayaan peserta sehinggalah mereka keluar dari garis kemiskinan kepada kehidupan yang agak selesa sebelum beri peluang kepada asnaf lain," katanya.
Dalam pada itu, jelasnya, selain mengusahakan sawah padi, LZNK turut memberi peluang kepada peserta melibatkan diri dalam aktiviti hiliran seperti menternak itik dan ikan puyu.
"Cadangan saya pada masa hadapan ialah kawasan ini berpotensi dikomersialkan yang sudah tentu menarik minat pengunjung untuk melihat industri desa ini berjalan, berlatar belakang pemandangan sawah padi dan keindahan Gunung Jerai.
"Tempat yang kita bela itik tadi kita buat tempat makan, orang mai (datang) sini tengok padi singgah makan di tepi bendang, ada itik dan ikan puyu," katanya.
Sementara itu, seorang peserta, Mohd Aizat Zahari, 30, bersyukur kerana terpilih menyertai program berkenaan yang ternyata mampu menambah pendapatan berbanding sebelum ini hanya melakukan kerja kampung.
"Sebelum ini, bila kerja ada duit, tak dak kerja, tiadalah pendapatan, syukurlah bila isi borang dan temuduga, dapat,"katanya.
Bagi Mohd Shukri Saari, 30, pula berkata, dia sebelum ini hanya bekerja sebagai penghantar barangan namun kini boleh membuat simpanan dengan melakukan pelbagai pekerjaan.
Dia yang menyara seorang anak tiri bersyukur apabila diberi peluang menjadi salah seorang peserta program dan beroleh pendapatan tambahan sebagai seorang petani.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!