Import telur dari India hanya langkah sementara - Mat Sabu

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu
A
A
A

PUTRAJAYA - Mengimport telur dari India hanyalah langkah sementara untuk menampung permintaan iaitu sehingga bekalan di pasaran tempatan kembali stabil, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.

Beliau berkata, langkah itu diambil kerana pengeluar tempatan tidak mampu menampung permintaan yang menyaksikan kekurangan bekalan ketara di pasaran.

"Sekarang masalahnya pengeluar tempatan tidak cukup mengeluarkan telur. Kalau pengeluar tempatan boleh mengeluarkan cukup (telur) tidak ada masalah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu bersama warga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) di sini pada Isnin.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Ayer Hitam Datuk Seri Dr Wee Ka Siong agar MAFS mengutamakan penternak tempatan dan bukannya mengimport telur dari India bagi menangani masalah bekalan.

Bagi meningkatkan bekalan telur di pasaran, Mohamad berkata, MAFS sedang berbincang dengan pihak berkaitan termasuk penternak ayam telur bagi menyusun semula hal subsidi.

"Ada pandangan mengatakan supaya harga telur diapungkan dan kemudian subsidi diberikan kepada B40. Hal itu sedang kami kaji, adakah ia lebih baik kepada B40 atau kurang baik," katanya.

Mohamad berkata, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan dalam sesi permukiman Jemaah Menteri semalam bahawa pandangan orang awam terhadap MAFS adalah 'markah tercorot' ekoran masalah kekurangan bekalan ayam dan telur.

Beliau berkata, pandangan awam itu seiring dengan masalah global berikutan krisis bekalan makanan ekoran peperangan, perubahan iklim serta pemanasan global.

Katanya, pihaknya sedang berusaha mengatasi isu yang timbul, malah bekalan ayam kini dilihat kembali stabil, manakala bekalan telur dijangka bertambah baik. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!