Penghuni 15 kediaman Bukit Permai Fasa 2 Ampang diarah pindah

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Semua penghuni di 15 unit kediaman di Bukit Permai Fasa 2 Ampang, diarahkan mengosongkan kawasan itu berikutan ia tidak selamat diduduki akibat pergerakan tanah.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, notis itu dikeluarkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

"Kerja pengukuhan tebing sedang dilaksanakan sementara menanti laporan penuh analisa daripada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat disiapkan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Amirudin berkata, perkara itu antara yang ditetapkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor.

Selain itu, kata Amirudin, laporan bencana tanah runtuh Batang Kali juga telah dibentangkan kepada MMKN.

Jelas beliau, hasil laporan tersebut, kerajaan negeri bersetuju untuk menambah peruntukan sebanyak RM21.1 juta bagi pembaikan cerun hasil cadangan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Garis panduan berhubung aktiviti perniagaan serta tapak perkhemahan akan dilaksanakan secara kerjasama antara kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk meningkatkan keselamatan warga Selangor yang menjalankan aktiviti ini," katanya.

Menurut Amirudin, kerajaan negeri juga memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi Projek Turapan Jalan Raya yang akan dilaksanakan tahun ini bermula dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, usaha itu melibatkan penyelenggaraan serta pelebaran jalan di bawah kelolaan negeri dan akan dipengerusikan EXCO Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Ir Izham Hashim.

Tambah beliau, komitmen kerajaan negeri adalah untuk membaik pulih, menyelenggara serta menaik taraf fasiliti kemudahan awam di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Inisiatif ini akan diteruskan menerusi Projek Selangor Penyayang Fasa 2 dengan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi setiap DUN dan akan bermula akhir Februari depan.

"Peruntukan ini juga melibatkan pembinaan satu Kompleks Komuniti Selangor Penyayang di setiap DUN," kata beliau.

Amirudin memberitahu, kerajaan negeri telah menerima maklum balas daripada warga emas yang memohon bantuan Baucar Jom Shopping Perayaan, sempena tiga perayaan utama tahun ini, iaitu Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali.

Sehubungan itu, kata beliau, kadar baucar dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 setiap keluarga, manakala had pendapatan bulanan isi rumah ditingkatkan daripada RM2,000 kepada RM3,000 sebulan.

Malah, tambahnya, penerima Program Skim Mesra Usia Emas turut layak memohon untuk baucar itu memandangkan kos sara hidup yang tinggi pada ketika ini.

Kata beliau, secara keseluruhan, kerajaan negeri menganggarkan 82,400 penerima bagi program itu yang akan diperuntukkan sebanyak RM16.8 juta.

"Bantuan serta usaha-usaha penambahbaikan ini diharapkan akan meringankan beban hidup rakyat dan menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan sejajar dengan tekad kerajaan negeri bahawa tiada sesiapa keciciran," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!