Nikah di Thailand turut melibatkan orang kenamaan
YAN - Orang kenamaan dikesan turut terlibat melangsungkan perkahwinan tanpa kebenaran di Thailand.
Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Datuk Ahmad Faisol Omar berkata, perkahwinan tersebut boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu dengan kebenaran dan tanpa kebenaran.
Menurutnya, pernikahan tanpa kebenaran membabitkan tiga kesalahan antaranya dikenal pasti membabitkan pasangan yang berpoligami tanpa izin, berkahwin dengan wanita yang masih dalam edah dan setelah bernikah, melambatkan pendaftaran dalam negara.
"Kebanyakan yang pergi berkahwin di Thailand itu tanpa kebenaran melibatkan orang biasa dan ada juga kenamaan.
"Kalau nak ikutkan kebanyakannya sah cuma ada dalam kira-kira lima atau enam peratus perkahwinan itu tidak sah.
"Bagaimanapun, ia bergantung kepada siasatan oleh pendaftar nikah, kita tengok dari segi wali dia, jurunikah di sana adakah bertauliah," katanya
Beliau ditemui selepas Majlis Pelancaran Menuai Padi Musim 1/2023 Smart Sawah Berskala Besar Asnaf Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Kampung Padang Lumat, di sini, pada Isnin.
Majlis dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, yang juga Pengerusi LZNK, Datuk Norizan Khazali.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Zakaria Othman.
Mengulas lanjut, Ahmad Faisol berkata, selepas pandemik Covid-19 selama dua tahun, kes pendaftaran nikah di pejabat itu kembali meningkat secara purata 15 kes sebulan.
"Mereka yang nikah poligami ini orang banyak duit kerana dia mampu bayar denda, tetapi secara kesimpulannya orang yang pilih bernikah di Siam ini orang yang tak tahu malu sebab dia membelakangkan ibu bapa dan isteri pertama," katanya.
Sebelum ini Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Keluarga Islam berkaitan Undang-Undang poligami telahpun diluluskan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.
Pindaan RUU itu melibatkan hukuman penjara dan denda bagi mereka yang didapati bersalah mengamalkan poligami tanpa kebenaran di Kedah.
Terdahulu, hukuman bagi kes poligami tanpa kebenaran hanyalah penjara enam bulan dan denda RM1,000 sebelum dipinda kepada penjara setahun serta RM3,000 denda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!