'Biar dimaki demi selamatkan nyawa pengguna jalan raya'

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

NILAI - Tugas penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bukan hanya menjaga keselamatan jalan raya, namun amanah besar dipikul adalah menyelamatkan nyawa pengguna jalan raya.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Isham Ishak berkata, meskipun penguat kuasa JPJ berdepan pelbagai kecaman dan rintangan semasa menjalankan tugas, namun keutamaan adalah menyelamatkan nyawa pengguna jalan raya menerusi khidmat nasihat atau tindakan undang-undang.

Menurutnya, tahun ini JPJ akan menyemarakkan tema Tahun Penguatkuasaan Keselamatan Jalan Raya.

"Walaupun ia tidak popular, namun kita akan tetap berusaha untuk mengubah sikap pengguna jalan raya agar lebih bertanggungjawab.

"Walaupun kita terpaksa menahan, saman dan memberi teguran, namun semua dilakukan itu demi niat ikhlas untuk menyelamatkan nyawa pengguna jalan raya," katanya.

Isham Ishak
Isham Ishak

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Apresiasi Bowling Kolaborasi Penguatkuasaan JPJ Bersama Rakan Strategik dan Media 2023 di Dreamtel Sports Complex Nilai, dekat sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Razali Mohamad.

Sebanyak 15 agensi penguat kuasa, rakan strategik dan sembilan wakil media arus perdana hadir menjayakan pertandingan boling tersebut.

Beliau berkata, Malaysia dikategorikan sebagai negara yang mempunyai kadar kemalangan jalan raya sangat tinggi.

Di sebalik jumlah kecelakaan yang tinggi itu, kata beliau, kesalahan sering kali dikaitkan dengan pihak berkuasa yang tidak melaksanakan tugas.

Meskipun begitu katanya, orang ramai 'terlupa' bahawa mereka sendiri adalah penyebab atau punca berlakunya kecelakaan jalan raya yang tinggi di Malaysia ekoran sikap dan cara pemanduan berbahaya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!