Malaysian Tigers lega raih kemenangan berharga
SKUAD hoki negara boleh menarik nafas lega apabila meraih tiga mata berharga selepas menewaskan Chile 3-2 dalam aksi Kumpulan C Piala Dunia 2023 di Rourkela-Bhubaneswar, India pada Isnin.
Kemenangan itu membuka peluang buat Malaysian Tigers mencabar kedudukan kedua atau ketiga pada perlawanan terakhir kumpulan menentang New Zealand di Bhubaneswar pada Khamis.
Kedudukan itu penting buat pasukan negara untuk membuat perhitungan pada aksi kalah mati bagi meraih slot ke peringkat suku akhir.
Bagaimanapun Malaysia yang menghuni ranking ke-11 dunia dipaksa bekerja keras dengan Chile di kedudukan ke-23 dua kali mendahului sebelum memenangi perlawanan yang mendebarkan menerusi jaringan Norsyafiq Sumantri.
Kedua-dua pasukan memulakan permainan berhati-hati sebaik aksi bermula dalam saingan yang berlangsung di Stadium Hoki Birsa Munda itu.
Chile kemudian mula mencabar benteng skuad Malaysian Tigers menerusi serangan tersusun dan berjaya meraih satu pukulan sudut penalti pada suku pertama, namun gagal menemui sasaran.
Bersambung suku kedua, Malaysia berpeluang mendahului menerusi dua pukulan sudut penalti, namun gagal disudahkan dengan baik.
Sebaliknya Chile yang membuat serangan balas bernasib baik, apabila kesilapan pemain pertahanan negara memberikan pukulan sudut penalti kepada lawan.
Kesempatan itu diterjemahkan dengan baik oleh Juan Amoroso untuk meledak gol pembuka tirai pada minit ke-20.
Berselang enam minit skuad bimbingan Arul Selvaraj bangkit menyamakan kedudukan menerusi penalti stroke oleh Razie Rahim.
Kegembiraan Malaysia bagaimanapun tidak bertahan lama, apabila benteng pertahanan negara diperangkap bola hantaran jauh untuk Chile menghasilkan gol padang oleh Martin Rodriguez pada minit ke-29.
Memasuki suku ketiga, Malaysia yang mengatur semula gerak serangan memperoleh sembilan pukulan sudut penalti, namun gagal menemui penyudah.
Jaringan penyamaan yang diburu akhirnya berjaya digapai menerusi gol padang Mohamad Ashran Hamsani pada minit ke-41.
Malaysia kemudian menggandakan asakan dan seminit kemudian buat pertama kali mendahului menerusi gol ketiga Norsyafiq yang membuat susulan hasil pukulan sudut penalti.
Menuju penghujung perlawanan Chile yang enggan berputus asa terus mengasak, namun benteng negara ampuh bertahan dan keputusan kekal sehingga wisel penamat.
Mengikut format kejohanan, juara kumpulan akan mara ke suku akhir, manakala pasukan di tempat kedua dan ketiga akan beraksi menentang pasukan Kumpulan D (England, India, Sepanyol, Wales) pada pusingan kalah mati untuk slot suku akhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!