Netanyahu makin terdesak

Ribuan penunjuk perasaan melaungkan slogan anti-Netanyahu ketika menyertai protes pada akhir minggu lalu. - Foto: Agensi
Ribuan penunjuk perasaan melaungkan slogan anti-Netanyahu ketika menyertai protes pada akhir minggu lalu. - Foto: Agensi
A
A
A

TEL AVIV - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Ahad mengumumkan kerajaan berhaluan kanan pimpinannya akan meneruskan rancangan untuk merombak sistem kehakiman negara itu walaupun berdepan bantahan banyak pihak terutamanya golongan hakim dan peguam.

Pemimpin Parti Likud itu yang masih berdepan perbicaraan kes rasuah telah menjadikan perubahan undang-undang sebagai agenda baharu kerajaan gabungan tersebut, namun puak penentang melihat ia sebagai cubaan Netanyahu untuk melepaskan tengkuk daripada sabitan kes rasuah.

Difahamkan, langkah rombakan itu akan melemahkan kuasa Mahkamah Agung, membolehkan penggubal undang-undang untuk meluluskan undang-undang dengan majoriti mudah dan memberikan kuasa lebih besar kepada kerajaan bagi melantik hakim serta mengehadkan kuasa penasihat undang-undang pemerintah.

"Pembaharuan ini bertujuan untuk membetulkan apa yang perlu diperbetulkan dan melindungi hak individu sepenuhnya serta memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap sistem kehakiman," ujar Netanyahu.

Cadangan kontroversi itu dibentangkan beberapa minggu selepas kerajaan paling berhaluan kanan dalam sejarah Israel yang membariskan pemimpin 'ekstremis' mengangkat sumpah yang turut menyaksikan Netanyahu memegang jawatan Perdana Menteri untuk penggal keenam.

Ia turut mendedahkan perpecahan dalam komuniti Israel yang menyaksikan penunjuk perasaan membanjiri Tel Aviv untuk menyertai protes anti-Netanyahu.

Bagi meredakan situasi yang semakin tegang di negara itu, Presiden Isaac Herzog tampil dan memberi jaminan beliau sedang berusaha untuk mengelakkan 'krisis Perlembagaan bersejarah'.

"Kita sedang berdepan perselisihan pendapat yang serius hingga memecah-belahkan negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya kini memberi tumpuan kepada dua peranan kritikal yang berada di bawah tanggungjawab saya iaitu mengelakkan krisis Perlembagaan dan menghentikan perpecahan di Israel," ujarnya. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!