Sedia kertas kabinet, tambah kapasiti pengeluaran air
PENAMPANG - Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan Kementerian Kerja Raya Sabah diminta menyediakan kertas kabinet bagi menambah kapasiti pengeluaran air dari Loji Rawatan Air Moyog untuk penggunaan sekitar Kota Kinabalu Selatan dan Putatan.
Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, kertas cadangan itu untuk tujuan perbincangan dan seterusnya bagi mendapatkan kelulusan menambah pengeluaran kapasiti bekalan air terawat bagi daerah berkenaan.
"Loji ini boleh menambah kapasiti dan ia telah dilakukan di Loji Rawatan Air di Telibong, Tuaran di mana mereka telah membina Skim Bekalan Air Segera (UWSS). Mereka telah menyediakan loji berkapasiti 10 juta liter sehari dan lima juta liter sehari untuk memberi tambahan kepada produksi air terawat.
"Jadi kita mahu satu UWSS dibuat yang boleh membekalkan air untuk daerah Putatan dan Kota Kinabalu," katanya kepada pemberita selepas melawat Loji Rawatan Air Moyog, di sini pada Isnin.
Ditanya bila UWSS itu dapat dilaksanakan, Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, proses akan mengambil masa dari enam hingga 18 bulan.
"Saya difahamkan UWSS ini boleh dilaksanakan dalam tempoh antara enam hingga 12 bulan iaitu tempoh pembinaan namun proses-proses pemerolehan dan sebagainya ia mungkin memakan masa dalam enam hingga 18 bulan," katanya.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Putatan itu memaklumkan kawasan Putatan serta Kota Kinabalu mengalami gangguan bekalan air sejak kebelakangan ini disebabkan permintaan bekalan air melebihi pengeluaran yang ada.
"Loji Rawatan Air Moyog ini mampu mengeluarkan sebanyak 185 juta liter air sehari ditambah dengan loji di Kasigui, boleh menghasilkan 235 juta liter sehari untuk dibekalkan kepada pengguna kawasan Kota Kinabalu Selatan dan juga Putatan.
"Kita dalam usaha untuk menambah produksi sedia ada memandangkan permintaan yang diperlukan sekarang ini adalah melebihi produksi iaitu sebanyak 235 juta liter sehari pengeluaran tetapi permintaan sebanyak 250 juta liter sehari dan kita ada defisit," jelasnya.
Tambah Shahelmey lagi, antara faktor menyebabkan tekanan bekalan air rendah di kawasan berkenaan adalah disebabkan berlakunya Kadar Air Tak Berhasil (Non Revenue Water NRW) atau ketirisan disebabkan kebocoran paip yang usang serta pengambilan bekalan air secara tidak sah.
"Perkara ini juga sedang diambil perhatian dan JANS mempunyai satu program untuk mengurangkan risiko kejadian NRW ini.
"Saya berharap dalam tempoh enam bulan dari sekarang dapat kita kurangkan masalah ini untuk memberi impak bagi bekalan air kepada pengguna," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!