'Lawatan PM tidak dimaklumkan secara jelas' - MB Terengganu

Ahmad Samsuri Mokhtar
Ahmad Samsuri Mokhtar
A
A
A

HULU TERENGGANU - Kerajaan negeri tidak mempunyai masalah dengan kerajaan Pusat, sebaliknya isu ketiadaan pemimpin negeri ketika lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Terengganu pada Khamis lalu adalah disebabkan masalah komunikasi.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kebiasaannya kerajaan negeri dimaklumkan secara jelas program dan kunjungan Perdana Menteri ke namun tidak kali ini.

"Kita sudah jadi kerajaan sejak 2018, kita telah bersama empat orang perdana menteri dan ada pengalaman dengan perdana menteri-perdana menteri sebelum ini.

"Semasa perdana menteri sebelum ini, kita dimaklumkan dengan jelas apa tujuan kedatangan dan siapa yang dilibatkan tapi dalam kunjungan baru-baru ini, kita tidak diberitahu ada urusan secara khusus dengan kerajaan negeri.

Ahmad Samsuri bersama sebahagian penerima RMM Tajin Sejahtera, di sini pada Isnin.
Ahmad Samsuri bersama sebahagian penerima RMM Tajin Sejahtera, di sini pada Isnin.

"Jadi kita membantu dari segi urusan logistik dan pengangkutan sebagaimana diminta," katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik (RMM) Tajin Sejahtera di Kampung Tajin, di sini pada Isnin.

Sehubungan itu beliau meminta semua pihak tidak memanjangkan isu tersebut serta menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak.

"Saya tidak mahu memanjangkan isu tersebut kerana kerajaan negeri tiada sebarang masalah, apa yang berlaku adalah masalah komunikasi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) Terengganu menyifatkan tindakan pimpinan kerajaan negeri ini yang tidak kelihatan ketika kehadiran Anwar ke Terengganu pada Khamis lalu sebagai biadab dan tidak menghormati tetamu.

Ketua Penerangannya, Mohd Sufian Mat Ali berkata, ketiadaan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan exco kerajaan negeri dilihat seolah-olah meremehkan kunjungan pertama kali pemimpin utama negara itu ke Terengganu selepas dilantik Perdana Menteri.

Jelasnya, alasan tiada makluman rasmi dari pejabat Perdana Menteri adalah tidak berasas sama sekali kerana Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil hadir menyambut Perdana Menteri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!