KPKT mohon peruntukan RM26.35 juta perkasa pengurusan bencana
KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyerahkan cadangan kepada Kementerian Kewangan, untuk memperkasakan pengurusan bencana menerusi peruntukan sebanyak RM26.35 juta, bagi memperoleh aset kritikal untuk meningkatkan kecekapan operasi dan penyelamatan.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, antara aset-aset yang dicadang untuk dibeli termasuklah Inflatable Boat, kenderaan serba rupa bumi, khemah modular tentera, beg tidur, Tactical Hydration Backpack, suit tahan kebakaran, lampu LED berbateri, serta menaik taraf bilik siap-siaga di 150 buah Balai Bomba dan Penyelamat di seluruh negara.
"Peruntukan ini juga akan digunakan untuk mengukuhkan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) bagi menyampaikan perkhidmatan kebombaan kepada masyarakat setempat. Dengan bajet ini, saya yakin ia dapat meningkatkan lagi kecekapan wira-wira merah kita ketika bertugas di lapangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir di Majlis Pelancaran Program Kesiapsiagaan Musim Perayaan dan Kempen Keselamatan Sempena Tahun Baharu Cina 2023 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Pavilion Bukit Jalil, di sini, pada Isnin.
Untuk perayaan Tahun Baharu Cina ini, katanya, JBPM akan melakukan rondaan berkala di kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai titik panas atau hotspot bagi kes kebakaran dan kes lemas, terutama di kawasan-kawasan riadah.
Beliau berkata, semua aset dan logistik seperti jentera dan peralatan kebombaan di balai-balai bomba dan penyelamat seluruh negara, juga diletakkan dalam keadaan bersedia untuk menerima sebarang panggilan kecemasan.
Sementara itu, Kor Ming berkata, sepanjang tahun 2022, JBPM telah menerima sebanyak 26,561 panggilan kebakaran melibatkan kerugian berjumlah RM1.32 bilion.
"Angka ini menunjukkan penurunan sebanyak 9,341 (26 peratus) berbanding 35,902 panggilan kebakaran yang direkodkan pada tahun tahun sebelumnya. Penurunan kes ini merupakan petunjuk positif tentang kesedaran masyarakat terhadap keselamatan dan pencegahan kebakaran,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!