'Hidup ibarat kais pagi makan pagi'
KUANTAN - Hidup penoreh getah di daerah ini umpama ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ kesan daripada harga komoditi itu yang tidak menentu di pasaran sejak beberapa tahun lalu.
Derita itu dirasai rata-rata penoreh selepas pendapatan mereka dikatakan menjunam sehingga hanya mampu meraih sekitar RM250 hingga RM500 berbanding mencecah RM1,500 sebulan sebelum ini.
Penoreh getah, Majiran Karmadi, 63, berkata, harga getah yang rendah di pasaran mencecah RM2 sekilogram berbanding RM3 sekilogram pada penghujung tahun lalu cukup memberi kesan kepada kehidupannya sekeluarga.
Namun, dia tetap menggagahkan diri keluar sejak awal pagi untuk menoreh memandangkan ini adalah satu-satunya punca pendapatannya.
“Setiap dua minggu sekali saya akan mengutip hasil dan memperoleh RM500, namun, dengan harga sekarang saya hanya memperoleh RM250.
“Harga getah terlalu rendah macam mana kami (penoreh) hendak hidup. Tapi mahu tidak mahu saya terpaksa juga keluar menoreh untuk duit bagi menyara keluarga,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Alor Batu, Jobor di sini.
Bapa kepada empat anak yang menoreh di kebun seluas dua hektar milik penduduk di kampung berkenaan mengakui pendapatan sebanyak itu menyukarkan kehidupannya sekeluarga.
“Kerajaan perlu lakukan sesuatu bagi memberi kelegaan buat kami penoreh getah,” ujarnya.Samsiah Joha, 62, pula masih meneruskan tugas rutin menoreh di kebun seluas satu hektar, walaupun dihimpit kesusahan.
Dia memberitahu pendapatan yang diraihnya antara RM6 hingga RM10 sehari sejak harga komoditi itu merudum.“Hidup kami ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang sebab harga getah selalu naik turun.
“Sikit atau banyak rezeki itu kami terpaksa reda kerana kelangsungan hidup perlu diteruskan,” luahnya.
Ibu kepada dua anak itu berharap harga getah dapat dikembalikan seperti dahulu terutama ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang mana ketika itu mencecah sehingga RM9 sekilogram.
“Itulah saat kami dapat berasa kesenangan hidup sebagai penoreh getah, namun selepas itu harga semakin jatuh.
“Mungkin agak mustahil untuk mendapatkan kembali harga getah sedemikian namun berharap setidak-tidaknya kerajaan mencari jalan agar harga getah naik sekurang-kurang RM5 sekilogram.
“Itu sudah cukup untuk buat kami penoreh getah ini kembali bernafas sekali gus boleh menampung kehidupan seharian kami,” katanya.
Nor Azizah Nordin, 54, pula berkata, selama 39 tahun mencari rezeki dengan menoreh, ini kali kedua berasa cukup terbeban selepas kali pertama dua tahun lalu.
Nor Azizah berkata, dia dan suami, Muhamad Izaini Md Sabudin, 34, menyara keluarga dengan hasil getah namun suaminya ketika ini tidak dapat membantu menoreh kerana menderita sakit jantung kronik.
“Kami berharap sangat-sangat supaya kerajaan dapat menaikkan harga getah antara RM3 hingga RM4 sekilogram,” luahnya.
Media sebelum ini melaporkan disebabkan kejatuhan mendadak harga getah di pasaran, golongan penoreh di negara ini semakin tersepit.Ia ditambah pula dengan perubahan cuaca tidak menentu serta peningkatan harga barang ketika ini sehingga menjejaskan kehidupan mereka.
Harap kerajaan dapat stabilkan harga lantai getah
Dalam pada itu, penoreh getah kini hanya mampu mengeluh apabila harga getah mencatatkan penurunan sehingga RM2.30 sekilogram sejak beberapa bulan lalu.
Bagi Ahmad Ali, 66, keadaan itu menyebabkan pendapatan diperoleh hanya ‘cukup-cukup makan’ bagi menampung kehidupan keluarga.
Kata Ahmad, dia berharap kerajaan dapat membantu meningkatkan pendapatan penoreh yang bergantung kepada hasil jualan komoditi itu.
“Harga getah pernah mencapai RM7 sekilogram kira-kira tujuh tahun lalu dan ketika itu kami dapat berasa kesenangan sebelum harga kembali jatuh.
“Kita berharap kerajaan dapat menstabilkan harga lantai getah kepada RM3 hingga RM3.50 sekilogram. Harga itu amat relevan yang membolehkan kami bernafas kembali,” katanya ketika ditemui di Kampung Kuang Hilir, Chemor di sini.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, keadaan cuaca yang tidak menentu serta kos sara hidup yang tinggi menambahkan lagi beban sedia ada.
“Pada usia begini tiada kerja lain yang dapat dibuat melainkan terus menoreh getah di kebun seluas tiga ekar di sini. Musim hujan ini, pendapatan yang diperoleh tidak menentu.
“Seawal jam 6.30 pagi, saya dan isteri akan keluar menoreh di kebun berhampiran dan disambung pada sebelah petang mengikut keadaan cuaca.
“Pengeluaran susu getah juga berkurangan berikutan penyakit menyerang pokok getah. Hasil jualan pula akan dibahagikan sama rata dengan pemilik tanah,” katanya.
Bapa kepada dua anak itu turut mengambil upah menebas kebun penduduk lain bagi menambah pendapatan.
“Saya perlu berusaha keras menambah pendapatan kerana perlu menyara anak bongsu yang kini melanjutkan pelajaran di sebuah kolej,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!