SKSSR beri perlindungan keselamatan sosial kepada suri rumah
SEREMBAN – Lebih 140,000 suri rumah telah berdaftar dan mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) sejak ia dikuat kuasakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada 1 Disember tahun lepas.
Daripada jumlah tersebut, seramai 135,357 suri rumah adalah penerima e-Kasih yang mencarum dengan i-Suri, di mana caruman SKSSR mereka ditaja oleh kerajaan, manakala 6,000 lagi adalah suri rumah yang mencarum sendiri.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, SKSSR yang dilaksanakan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838) bertujuan untuk memberi perlindungan keselamatan sosial kepada suri rumah terhadap bencana domestik, keilatan ataupun kematian sewaktu menguruskan rumah tangga.
"Demi menjaga kebajikan golongan suri rumah terutamanya daripada golongan rentan, kerajaan telah memperuntukkan RM20 juta untuk menaja caruman SKSSR kepada 150,000 suri rumah yang berdaftar dengan e-Kasih dan mencarum di bawah i-Suri Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Setakat ini hasil rujuk silang data 135,357 penerima e-Kasih yang mencarum i-Suri dengan data daripada Jabatan Pendaftaran Negara mendapati 37 suri rumah yang dilindungi skim ini telah meninggal dunia dalam tempoh 1 Disember 2022 hingga 11 Januari lepas, sekali gus melayakkan warisnya menerima manfaat SKSSR," katanya pada Majlis Penyerahan Faedah kepada waris SKSSR di Pejabat Perkeso Negeri Sembilan, di sini pada Isnin.
Jelasnya, di bawah Akta 838, waris kepada Suri Rumah Berinsurans (SRB) yang meninggal dunia layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000, manakala bayaran berkala Pencen Penakat sebanyak maksimum RM300 sebulan disediakan mengikut kelayakan syer orang tanggungan.
"FPM dan Pencen Penakat adalah faedah yang disediakan di bawah SKSSR apabila berlaku kematian. Faedah ini dibayar kepada orang tanggungan seperti duda dan anak-anak yang layak apabila SRB meninggal dunia sebelum mencecah usia 55 tahun," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti-parti politik, dan agensi kerajaan untuk turut sama mempromosikan skim ini supaya lebih ramai suri rumah mendapat manfaat.
"Menjadi harapan saya tahun ini satu jumlah yang besar sekurang-kurangnya 500,000 suri rumah mendaftar di bawah skim ini. Walaupun saya lihat angka itu agak besar, tetapi saya yakin kalau semua pihak terlibat, sasaran itu boleh dicapai," katanya.
Sementara itu, dalam majlis berkenaan, Sivakumar menyantuni waris kepada empat daripada SRB di negeri ini, tiga daripadanya merupakan ibu tunggal iaitu Allahyarhamah Zainab Mamat, Allahyarhamah Noraseyah Abu Hassan dan mendiang Anjalai Mariyappan.
Seorang lagi adalah Allahyarhamah Aniza Muhamad Zin. Kesemua SRB ini meninggal dunia antara 5 Disember tahun lalu hingga 5 Januari lepas.
Tambah Sivakumar, menjadi harapannya agar faedah yang disediakan oleh Perkeso menerusi SKSSR ini sedikit sebanyak meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarga yang ditinggalkan pencarum.
"Skim ini mengiktiraf peranan suri rumah dalam melaksanakan kerja-kerja pengurusan rumah tangga yang selama ini mungkin tidak dilihat sebagai satu sumbangan kepada pembangunan institusi keluarga dan negara," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!