Rumah sorok minyak masak bersubsidi diserbu
BACHOK - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sarah Hidup (KPDN) menyerbu sebuah rumah di Jalan Teratak Pulai, Kampung Kuchelong, Jelawat, di sini dan merampas 6,120 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi, pada jam 6.30 petang Isnin.
Serbuan tersebut dilakukan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Tok Bali, Pasir Putih, semasa Ops Membanteras Ketirisan Barang Kawalan.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, hasil maklumat risikan, pihaknya telah menyerbu sebuah rumah mencurigakan yang dijadikan tempat simpanan transit sementara barang kawalan bersubsidi.
"Hasil pemeriksaan telah menjumpai minyak masak bersubsidi kira-kira 6,120 kg dengan nilaian rampasan RM15,300 yang dipercayai akan dibawa ke sempadan negara jiran untuk dipasarkan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, minyak masak bersubsidi tersebut disita bagi siasatan lanjut terhadap pemilikan dan rumah transit sementara tersebut.
Bagaimanapun, tiada pemilikan atau pengakuan dilakukan terhadap barang berkenaan.
Azman memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Kami memberi amaran kepada mana-mana individu atau peniaga yang dengan niat melakukan aktiviti tidak bermoral ini supaya menghentikannya segera.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau peniaga yang melakukan kesalahan ini, seterusnya akan berhadapan dengan tindakan berat serta denda yang tinggi," katanya.
Beliau menambah, pengguna boleh menyalurkan sebarang aduan sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti yang mencurigakan dan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil KPDN selanjutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!