Ketepatan frasa 'orang di luar sana'
SERING kali kita mendengar frasa “orang di luar sana” dituturkan oleh pembicara atau penutur dalam pelbagai program televisyen dan radio.
Mereka yang menuturkan frasa ini sedang berada di dalam studio atau konti radio dan bercakap kepada penonton atau pendengar di hadapan televisyen atau di sisi radio. Penuturan frasa “orang di luar sana” bukan merupakan fenomena baharu tetapi telah lama kita mendengarnya.
Frasa ini menarik perhatian penulis kerana kekerapan penggunaannya dan dituturkan oleh pelbagai golongan masyarakat pembicara, baik penutur yang berpendidikan tinggi mahupun yang berpendidikan biasa, pegawai-pegawai, pemimpin organisasi, masyarakat umum, termasuklah orang yang terlibat dalam bidang seni tanah air seperti pelakon dan penyanyi.
Penggunaannya semakin berkembang seolah-olah tiada kesalahan dari aspek makna (semantik) bagi maksud perkataan yang dirujuki.
Benarkah “orang di luar sana” bermaksud penonton atau pendengar? Pihak yang menuturkan frasa ini beranggapan pemakaiannya betul dengan andaian “orang di luar sana” itu ialah orang yang berada di hadapan televisyen atau di sisi radio.
Andaian ini dikemukakan kerana mereka menganggap sedang berada dalam peti televisyen berhadapan dengan orang yang menonton dan mendengar di luar peti televisyen.
Maknanya orang di dalam sedang bercakap dengan orang di luar. Mereka juga menganggap mereka berada di sini manakala yang menonton sedang berada di sana. Perkara ini benar dari segi lawan makna perkataan atau perkataan berlawan erti.
Bagaimanapun, dari segi penggunaan kata dan makna perkataan anggapan demikian adalah tidak benar. Hal ini kerana dalam konteks situasi dan keperihalan keadaan, “orang di luar sana” bermaksud orang yang berada di luar sebuah ruang seperti dewan, rumah, khemah dan ruang yang seumpama dengannya. Itu pun orang yang berucap atau bercakap tidak akan menyebut di luar sana, tetapi akan menyebut di luar dewan, di luar rumah atau di luar khemah.
Dalam isu penggunaan frasa “benda ini” pula, penulis berkesempatan mengikuti bual bicara yang dianjurkan oleh sebuah stesen televisyen yang melibatkan seorang pemudah cara, dua ahli panel dan beberapa orang penanya soalan.
Tajuk bual bicara itu ialah “Akal Masyarakat Tumpul Jika Bincang Perkara Remeh”. Sepanjang perbualan itu, hampir semua ahli panel dan penanya soalan menggunakan perkataan “benda ini” bagi merujuk frasa “perkara remeh”.
Contoh frasa yang dituturkan berbunyi: (i) Kalau kita teruskan benda-benda ini... (ii) Benda ini macam ... (iii) Remeh tu apa benda? (iv) Benda macam semua benda ada...(v) Benda ini okay ke untuk kita baca...
Jika diteliti penggunaan perkataan “benda” dalam frasa di atas, jelas bahawa penggunaannya adalah salah dari segi rujukan makna bagi frasa “perkara remeh”. Mengikut Kamus Dewan, “benda” membawa makna barang atau setiap yang dapat diraba dan dilihat. “Perkara remeh” bukanlah barang atau sesuatu yang dapat diraba atau dilihat.
Mengikut hukum tatabahasa bahasa Melayu, remeh tergolong dalam kata adjektif. Perkataan remeh bukan bersifat konkrit yakni sesuatu yang boleh dipegang apatah lagi dilihat.
Dengan kata lain, dari segi makna atau semantik, remeh bersifat abstrak. Perkataan yang sepatutnya digunakan bagi maksud yang tepat bagi “perkara remeh” ialah “hal” atau “perkara”.
Kalau bermaksud kata ganti nama tunjuk, penyebutannya ialah “hal/perkara ini”, “hal/perkara itu”, “hal/perkara tersebut” atau “hal/perkara berkenaan”. Dalam hal penggunaan kata, frasa, klausa dan ayat bahasa Melayu, penutur atau penulis tidak boleh sewenang-wenangnya mengetepikan aspek rujukan makna dan hukum tatabahasa.
Kita bimbang jika penciptaan kata atau istilah tidak dibuat dengan betul, sesuatu yang salah itu dianggap betul dan penggunaannya berleluasa pula, maka bahasa Melayu akan rosak binasa.
Justeru, semua pengguna bahasa mestilah memastikan bahasa yang digunakan khususnya dalam konteks rasmi ialah bahasa yang betul, tepat dan mematuhi hukum tatabahasa bahasa Melayu.
* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!