'Pengisytiharan harta pemimpin sebelum ini adalah sandiwara'
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pengisytiharan harta yang dilakukan oleh pemimpin politik sebelum ini adalah sebagai satu sandiwara.
Menurutnya, pengisytiharan harta tersebut tidak mencerminkan jumlah kejayaan sebenar ahli politik termasuk mereka yang kini di dalam kabinet.
"Mereka boleh mempunyai ratusan juta tetapi isytihar RM10 atau RM11 juta," katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Dialog Belanjawan 2023 Membangun Malaysia Madani di Kementerian Kewangan, di sini
Beliau berkata, satu parameter jelas perlu dibangunkan berhubung perkara tersebut dan satu perbincangan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang diadakan bagi memastikan pengisytiharan harta adalah telus.
"Apabila melihat kepada angka dalam fail, ia mengejutkan saya.
"Kebanyakan orang tidak bercakap benar. Ia menjadi bahan ejekan," katanya.
Minggu lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, tiada arahan daripada Anwar kepada menteri kabinet berhubung perkara tersebut.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu, sebahagian besar daripada 72 calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat pengisytiharan harta masing-masing berikutan syarat parti itu yang mahu semua calonnya berbuat demikian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!