Lelaki Myanmar didakwa bunuh sepupu
KUALA PILAH - Seorang pendatang tanpa izin (PATI) dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan membunuh sepupunya pada 7 Januari lalu.
Tertuduh, Peng Za Uk, 21, merupakan warga Myanmar mengangguk sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret,Saiful Sayoti.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh antara 7 Januari jam lebih kurang 9.30 malam hingga 8 Januari lalu di hadapan sebuah rumah di Jalan Selaru telah membunuh Kaw Lin Thang.
Tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga didakwa di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) (Pindaan 2002) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama kerana didapati masuk dan tinggal di negara ini tanpa mempunyai dokumen secara sah yang menyalahi undang-undang.
Perbuatan itu dilakukan lebih kurang jam 3 pagi, 8 Januari lepas di tepi jalan besar Selaru-Dangi di sini.
Bagi pertuduhan kedua, pada 8 Januari pukul 3 pagi, di tepi jalan besar Selaru, Dangi, tertuduh telah didapati masuk dan tinggal di Malaysia tanpa mempunyai dokumen secara sah yang menyalahi undang-undang.
Bagi pertuduhan tersebut, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1) (c), Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) (Pindaan 2002) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6 (3), akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun bagi pertuduhan kedua membabitkan kesalahan masuk ke negara ini tanpa dokumen yang sah, tertuduh menyatakan tidak faham.
Majistret kemudiannya mengulangi soalan, sama ada tertuduh faham atau sebaliknya bagi pertuduhan pertama dan tertuduh menyatakan tidak memahami sepenuhnya pertuduhan yang dibacakan.
Majistret menetapkan 17 Februari bagi sebutan semula kes di Mahkamah Majistret yang sama bagi jurubahasa Myanmar memandangkan tertuduh hanya memahami Bahasa Myanmar.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Peh Fong Xi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Media 9 Januari lalu melaporkan seorang lelaki warga Myanmar ditangkap dalam cubaan melarikan diri selepas dipercayai terbabit dalam kes bunuh seorang pekerja kandang ternakan di Selaru, Dangi, di sini awal pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!