Ustaz Wadi Annuar agih bantuan banjir Kelantan RM200,000
TUMPAT - Penceramah bebas terkenal, Ustaz Wadi Annuar menerusi Pertubuhan Khidmat Ummah Kuala Muda mengagihkan bantuan pelbagai barangan keperluan dan elektrik bernilai RM200,000 kepada 541 keluarga mangsa banjir di negeri ini.
Wadi atau nama sebenarnya, Mohamad Wadi Annuar Ayub yang juga pengerusi pertubuhan itu berkata, agihan dilakukan menerusi Misi Bantuan Banjir 3.0 yang disampaikan dari rumah ke rumah menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
“Ini kali ketiga pertubuhan menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana alam selain di Pahang dan Selangor sebelum ini.
“Bantuan keseluruhan di ketiga-tiga negeri tersebut bernilai RM600,000 meliputi barangan keperluan kekal bagi membantu mangsa-mangsa banjir meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh pasca ketika ini,” katanya ketika ditemui pada acara pelepasan misi tersebut di pekarangan Masjid As Syakirin di Kajang Sebidang di sini pada Selasa.
Turut hadir Pengerusi Kawasan Rukun Tetangan Mukim Kajang Sebidang/Teluk Jering, Mohamad Raduan Mohamad.
Mohamad Wadi Annuar berkata, pertubuhan itu lebih memilih untuk menyalurkan bantuan peralatan seperti periuk nasi dan dapur berbanding makanan kerana barangan makanan tersebut sudah banyak diagihkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) lain.
“Kami juga berharap lebih ramai pihak tampil membantu mangsa kerana masih ada yang belum menerima bantuan selepas terjejas banjir baru-baru ini.
“Bantuan juga perlu diagihkan dengan kerjasama dan koordinasi antara pemimpin setempat,” katanya.
Sementara itu, seorang penerima, Maimunah Musa, 49, berkata, banjir pada Disember tahun lalu menyebabkan banyak perkakas elektrik di rumahnya rosak kerana ditenggelami air.
“Bantuan yang diperolehi ini dapat meringankan beban kami mangsa-mangsa banjir,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!