Kelantan FC uji enam awang import
KELANTAN FC akan menguji enam pemain import sebelum dipilih untuk diserapkan dalam pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.
Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berkata, ia termasuk tiga pemain dari Korea Selatan yang akan dinilai oleh ketua jurulatih, Choi Moon Sik
"Insya-ALLAH ada enam import akan hadir untuk perlawanan pra musim seterusnya. Coach Choi Moon Sik sedang buat pilihan termasuk tiga orang pemain dari Korea. Pemain tempatan juga sedang dinilai.
"Kita juga masih dalam pra musim dan persiapan sedang diperkemaskan," katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebook miliknya pada Selasa.
Setakat ini, Kelantan FC sudah mengharungi perlawanan pra musim dengan kekalahan 0-7 kepada pasukan dari Thailand, Buriram United yang berlangsung di Songkhla pada Ahad.
Skuad pantai timur itu akan berkunjung ke Stadium Darul Aman untuk berdepan Kedah pada Jumaat sebelum berdepan tiga lagi perlawanan pra musim sebagai persiapan memulakan saingan liga pada penghujung Februari ini.
Dalam pada itu, Zamsaham turut memaklumkan Kelantan FC akan menjalinkan kerjasama dengan badan pengelola Maju Jaya Bola Project bagi menyalurkan bakat bakat-bakat muda pemain Thailand sebagai import Kelantan FC.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!