Tinggal di rumah hampir runtuh akibat banjir
TUMPAT - Tiga beranak di Kampung Kajang Sebidang di sini berdepan kesukaran apabila tidak ada pilihan selain tinggal di rumah hampir runtuh akibat banjir pada Disember tahun lalu.
Ibu tunggal, Suryanie Zakaria, 27, berkata, banjir setinggi dua meter di pekarangan rumah bulan lalu menyebabkan kerosakan papan dinding serta lantai rumah itu.
Dia yang kematian suami, Allahyarham Mokhtar Awang Ali sejak lapan bulan lalu akibat sakit kronik jantung dan buah pinggang menjaga dua anak, Syafani Syafina Moktar, 4, serta Syarul Fikri Ahmad, 8.
“Keluarga arwah suami bersimpati menumpangkan kami tinggal di rumah ini.
“Keadaan rumah kayu usang ini bertambah teruk apabila terkena banjir dengan lantai dan dinding mereput,” katanya ketika ditemui pada Misi Bantuan Banjir 3.0 Pertubuhan Khidmat Ummah Kuala Muda di sini pada Selasa.
Bantuan kelengkapan rumah itu disampaikan Pengerusi Pertubuhan Khidmat Ummah Kuala Muda yang juga penceramah bebas terkenal, Mohamad Wadi Annuar Ayub.
Menurut Suriani, bahagian dapur batu rumah tersebut pernah roboh akibat bah kuning pada tahun 2014 dan dibina baharu oleh ketua kampung.
“Bahagian dapur lama pula lebih tinggi tetapi sudah senget kerana digenangi air selama hampir dua minggu ketika banjir bulan lalu.
“Ada bahagian berlubang dan dimasuki binatang seperti ular dan perlu dipijak berhati-hati bimbang terjerlus,” katanya.
Tambah Suriani, bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan sebanyak RM30 setiap hari tidak mencukupi tambahan perlu menyara perbelanjaan sekolah anak sulung.
“Permohonan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah dilakukan, saya masih menunggu jawapan daripada pihak tersebut,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh salurkan bantuan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (nombor akaun 0301841000132163) atas nama Suryanie Zakaria .
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!