Kastam Pahang rampas barang seludup lebih RM1 juta tahun lalu
TEMERLOH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang merampas barangan bernilai lebih RM1 juta yang cuba diseludup masuk dan keluar dari negeri ini pada tahun lalu.
Pengarah Kastam negeri, Wan Apandi Wan Hassan berkata, jumlah itu membabitkan 226 kes yang disenaraikan dalam Perintah Larangan Import dan Eksport 2017, dengan nilaian cukai RM4,558,499.78.
Menurutnya, komoditi utama yang dirampas ialah rokok dengan 4,333,022 juta batang membabitkan nilai rampasan RM509,744.92 dan nilaian cukai, RM2,896,874.55 menerusi 187 kes.
“Selain itu terdapat 12 kes berkaitan minuman keras membabitkan rampasan 17,361,54 liter dengan nilai rampasan RM173,000.40 dan jumlah cukai RM1,404,656.23.
"Bagi komoditi kenderaan pula, sebanyak 19 kes direkodkan melibatkan 22 kenderaan membabitkan nilai rampasan RM335,000 dan nilaian cukai, RM248,575.50," katanya pada sidang akhbar di Pejabat JKDM Temerloh pada Selasa.
Ujar beliau, bagi komoditi mercun pula, sebanyak 335.62 tan membabitkan tujuh kes dicatatkan dengan nilai rampasan, RM12,321.92 dan nilaian cukai RM8,389.50, manakala komoditi lain-lain bernilai RM13,991.60.
Sementara itu, untuk tahun 2023 setakat ini, komoditi rokok mencatatkan peningkatan berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 3,141,812 batang rokok seludup dengan nilai RM255,741.76 telah dirampas.
"Ia termasuk rampasan terbesar pada 5 Januari lalu dengan nilai cukai keseluruhan sebanyak RM2,099,170," jelas beliau.
Menurut Wan Apandi, sejumlah 1,483.15 tan mercun pelbagai jenis bernilai RM74,239 dengan nilaian cukai sebanyak RM48,255.35 juga berjaya dirampas dalam bulan pertama tahun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!