Amal komunikasi beretika lapor keganasan seksual
SHAH ALAM - Wartawan dan penulis profesional disaran mengamalkan komunikasi beretika ketika menyediakan laporan dan berita berkaitan isu keganasan seksual.
Penasihat Serantau mengenai keganasan seksual, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), Valentina Codeluppi berkata, golongan tersebut seharusnya memberi fokus terhadap kisah survival mangsa selepas kejadian hitam agar boleh dijadikan pemerkasaan daya tahan mangsa-mangsa lain.
"Dalam penulisan, wartawan disaran mengelakkan penggunaan bahasa atau perkataan yang boleh memberi kesan langsung terhadap mangsa atau bahasa yang menghakimi seperti mempersoalkan orientasi dan amalan seksual mangsa, pakaian yang dipakai ketika kejadian atau semua butiran yang mungkin membawa kepada menyalahkan mangsa.
"Elakkan juga daripada menggunakan istilah 'didakwa' (dirogol) atau perkataan yang merujuk kepada mangsa sebagai penjenayah kerana ia akan menguatkan idea bahawa kita tidak mempercayai sejarah mangsa yang terselamat sekali gus memberi stereotaip negatif.
"Sebaliknya, media boleh membantu (dalam penulisan) tunjukkan bagaimana mereka yang terselamat boleh menjadi ejen perubahan, advokasi dan pemerkasaan untuk memberi inspirasi kepada mangsa lain atau pihak berwajib," katanya ketika sesi perkongsian Bengkel Keganasan Seksual Dalam Konflik Peperangan: Perspektif Komunikasi Beretika di Kompleks Karangkraf pada Selasa.
Dalam pada itu, Valentina turut menyarankan agar penulisan atau berita mengenai keganasan seksual mengutamakan keselamatan mangsa serta kepentingan hak seperti maruah diri, kehidupan peribadi, kerahsiaan, keselamatan dan perlindungan terhadap tindak balas selepas artikel berkenaan disiarkan.
"Wartawan dan profesional media memainkan peranan penting bukan sahaja dalam meningkatkan kesedaran mengenai keganasan seksual, malah memerangi stereotaip mengenai isu ini," katanya.
Sementara itu, Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, bengkel yang dianjurkan dengan kerjasama ICRC itu merupakan inisatif syarikat bagi mendedahkan wartawan mengenai isu sensitif agar berita yang disiarkan lebih berkualiti dan diyakini.
"Sebagai syarikat media utama di negara ini, kita mengambil tanggungjawab untuk menyediakan bahan bacaan yang berkualiti kerana wartawan adalah pemegang amanah rakyat seterusnya menjadi pengantara untuk menghebahkan sesuatu isu kepada masyarakat.
"Di samping itu, bengkel ini juga merupakan cabang untuk memperkasakan penulisan wartawan terutama dalam isu yang sensitif di mata masyarakat.
"Dalam keadaan ekosistem digital yang dipenuhi berita palsu, harus ada satu etika komunikasi kewartawanan berkaliber supaya orang ramai boleh lakukan rujukan sahih daripada mengambil informasi berita palsu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!