'Kakak dah buka mata tapi...'
SHAH ALAM - "Kakak dah buka mata tetapi dia masih belum dapat bercakap," demikian luahan Faiz Ammar Rosli, 14, adik kepada jemaah umrah Malaysia, Fatin Amirah Rosli, 26, yang sebelum ini tidak sedarkan diri akibat terjatuh di tandas bilik hotel di Makkah, 29 Disember lalu.
Faiz Ammar berkata, sangat rindu kepada kakaknya namun tidak tahu bila kakak dan bapanya akan pulang semula ke rumah.
Anak bongsu dari lima beradik itu berkata, mereka sebelum ini menunaikan umrah bersama bapanya, Rosli Nawi, 56, serta seorang lagi abangnya pada 20 Disember yang lalu.
"Semasa di sana (Makkah) sebelum kakak terjatuh dalam bilik air dia 'happy' dan seronok sangat sebab dapat ke Makkah dan kami bersama-sama dapat melawat ke beberapa tempat.
"Saya tidak dapat lupa saat itu dan amat sedih apabila kejadian menimpa kakak, harap kakak cepat sembuh dan pulang ke rumah bersama ayah," katanya kepada Sinar Harian.
Remaja itu berkata demikian ketika menerima kunjungan Bilal Surau Raudhatul Firdaus, Alam Budiman, Nazri Mat Zain, 59, di rumah keluarganya di U10 Alam Budiman di sini pada Selasa.
Faiz Ammar pulang ke Malaysia pada 1 Januari lalu bersama abangnya, manakala bapa mereka masih di Tanah Suci menunggu perkembangan Fatin Amira di King Abdullah Medical City.
Sementara itu, kakak Faiz, Fatin Amalina, 29, pula berkata, adiknya masih meneruskan rawatan di sana dan berada dalam keadaan stabil serta menunjukkan perkembangan yang agak positif.
Menurutnya, mereka sekeluarga bagaimanapun masih lagi menunggu keputusan doktor bagi memberi kebenaran membawa Fatin Amirah pulang semula ke Malaysia terdekat ini.
"Kami sekeluarga bersyukur kerana banyak pihak khususnya rakyat Malaysia yang banyak membantu termasuk menyediakan kos sebanyak RM100,000 untuk membawa pulang adik ke Malaysia.
"Hanya ALLAH sahaja dapat membalas setiap pertolongan ini, semua perbelanjaan kini mencukupi, kami sekeluarga hanya berharap mereka dapat pulang semula ke rumah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!