Majikan perlu buat bayaran levi sebelum kenal pasti pekerja asing

Saifuddin Nasution - Foto Bernama
Saifuddin Nasution - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Majikan yang memperoleh kelulusan bersyarat daripada Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk menggajikan pekerja asing di bawah Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing perlu membuat bayaran levi di Jabatan Imigresen sebelum mengenal pasti pekerja asing di negara sumber.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu adalah antara prosedur yang ditetapkan untuk menggajikan pekerja asing menerusi Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing yang berkuat kuasa bermula Januari hingga 31 Mac ini.

"Dengan dokumen kelulusan bersyarat itu, majikan boleh membuat bayaran levi di Jabatan Imigresen Malaysia. Majikan kemudiannya boleh mengenal pasti pekerja asing di negara sumber untuk menjalani saringan kesihatan sebagai prasyarat sebelum pelepasan ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Melalui pelan itu, majikan dibenarkan untuk menggaji pekerja asing dari 15 negara sumber berdasarkan kepada kemampuan dan keperluan sebenar majikan, dan dikecualikan daripada melalui prasyarat kelayakan penggajian serta kelayakan kuota.

Mesyuarat Khas Pengurusan Pekerja Asing yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Januari lepas bersetuju mewujudkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing itu sebagai langkah memenuhi keperluan tenaga kerja asing, selain melaksanakan semula Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar hari ini berkata, kerajaan akan melaksanakan program Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing bagi lima sektor dan subsektor kritikal iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran sahaja).

Saifuddin Nasution berkata, selepas proses pembayaran levi itu, majikan perlu melengkapkan permohonan Visa Dengan Rujukan (VDR), permohonan Single Entry Visa di luar negara, proses imigresen di pintu masuk antarabangsa, saringan kesihatan pekerja asing dalam negara dan pengeluaran pas lawatan kerja sementara (PLKS).

"Selepas pengeluaran PLKS, majikan akan diberi tempoh maksimum enam bulan untuk mematuhi prasyarat yang dikecualikan di peringkat awal seperti pematuhan kepada undang-undang perburuhan dan kriteria kelayakan kuota di bawah KSM serta syarat minimum penggajian di bawah Agensi Kawal Selia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi memastikan pematuhan terhadap prasyarat berkenaan dalam tempoh yang ditetapkan, Saifuddin Nasution berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kerjasama KSM akan memperkasakan penguatkuasaan naziran dan inspektorat dalam urusan pengurusan pekerja asing.

"Sekiranya didapati majikan melanggar mana-mana peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa, majikan boleh dikenakan tindakan selaras dengan akta-akta yang berkenaan.

"Elemen penguatkuasaan naziran dan inspektorat secara bersepadu ini adalah bagi mengimbangi elemen keselamatan dalam kepentingan kita untuk meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Mengenai program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang dilaksanakan semula selama setahun, Saifuddin Nasution berkata, permohonan program itu boleh dibuat melalui laman web Jabatan Imigresen Malaysia di pautan www.imi.gov.my.

Beliau berkata, lawatan ke tiga negara sumber utama iaitu Indonesia, Bangladesh dan Nepal akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan perihal keselamatan pekerja asing serta berunding berkenaan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!