Sin Chew Daily terus sokong Rasuah Busters
PETALING JAYA - Akhbar nombor satu bahasa Cina, Sin Chew Daily yakin dengan kemampuan dan kelebihan yang ada pada media berpengaruh itu untuk menyebar luas kempen antirasuah kepada masyarakat.
Ketua Pengarang Kumpulan Media Chinese International Limited (MCIL) (Malaysia), Kuik Cheng Kang berkata, usaha memerangi amalan rasuah adalah tanggungjawab bersama yang perlu dilaksana dan dijayakan oleh semua pihak termasuk pengamal media.
Beliau yang juga Ketua Pengarang Sin Chew Daily berkata, mesej antirasuah bukan sahaja perlu disebar luas, malah inti pati agenda penting itu dijadikan pegangan kukuh oleh seluruh rakyat Malaysia yang cintakan negara.
Untuk itu kata beliau, langkah utama yang harus diambil perhatian adalah menyokong apa jua inisiatif digerakkan bagi mengekang budaya rasuah daripada terus berakar umbi di dalam masyarakat, seterusnya diputuskan daripada rantaian kehidupan.
"Kami di Sin Chew Daily dan pihak kumpulan percaya bahawa menyampaikan mesej antirasuah adalah satu tanggungjawab penting yang perlu dipikul oleh semua pihak untuk dilaksanakan, malah harus mendapat kerjasama penuh daripada seluruh lapisan masyarakat.
"Saya secara peribadi memahami bahawa rasuah adalah seumpama kanser atau barah yang sangat bahaya sekiranya tidak dicegah atau ditangani sebaiknya.
"Perkara ini sangat penting bagi mempertahankan nilai-nilai murni yang ada pada rakyat Malaysia cintakan negara dan benci kepada kemusnahan akibat sifat tamak melampau," katanya pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis kunjungan hormat pasukan Rasuah Busters ke ibu pejabat Sin Chew Daily, dekat sini.
Hadir sama Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew Daily, Chan Aun Kuang dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin.
Mengulas lanjut, Cheng Kang berkata, perbuatan rasuah wajib diperangi sepenuh hati sekiranya tidak mahu melihat negara menuju jalan kehancuran apabila ia semakin membarah serta tidak diendahkan di dalam masyarakat.
Untuk itu katanya, semua pihak termasuk media perlu memainkan peranan masing-masing untuk menyokong serta berganding bahu melakukan kerja-kerja kempen dan penyebaran mesej antirasuah.
Jelasnya, langkah proaktif yang dilaksanakan oleh pasukan Rasuah Busters perlu dibantu menerusi kepakaran dan kemahiran yang ada pada diri masing-masing.
"Kami sememangnya komited untuk menolong dan bersama-sama Rasuah Busters untuk menjayakan agenda antirasuah kerana ia bukan sahaja boleh menyelamatkan negara daripada isu ketirisan, malah dilihat mampu memberi kesan langsung terhadap pembentukan perpaduan masyarakat yang lebih utuh," katanya.
Sementara itu, Nurhayati berkata, Rasuah Busters menyambut baik 'tangan' yang dihulurkan oleh Sin Chew Daily bagi memperkukuhkan hubungan sebagai rakan sinergi menyebar luas mesej antirasuah kepada rakyat.
Katanya, sebagai akhbar berpengaruh dan mempunyai bilangan pembaca sebanyak 1.5 juta orang, kerjasama yang diberikan adalah sangat besar harganya terutama dalam menyampaikan mesej benci rasuah termasuk pelayar secara dalam talian.
"Pertemuan yang diadakan pada hari ini bukan sahaja berjaya menghasilkan satu perbincangan sangat baik, malah ia juga dapat digunakan sebagai proses pertukaran ilmu sebagai rakan sinergi.
"Rasuah Busters amat bertuah apabila Sin Chew Daily sudi berkerjasama kerana media adalah satu platform yang berperanan menyampaikan kebaikan dan membawa perubahan masyarakat ke arah lebih baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!