Objek misteri meletup selepas 'terbang' masuk bilik tidur
PENDANG - Sepasang suami isteri terkejut apabila terdengar bunyi letupan yang membuatkan bilik rumah mereka di Kampung Lahar Batu di sini, hangus.
Aminah Shafie, 74, bersama suaminya Ahmad Abdullah, 83, sedang menonton televisyen ketika menyedari kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.30 malam Rabu lalu.
Aminah berkata, sejurus mendengar letupan dia dan suami mencari arah bunyi berkenaan dan terkejut melihat api sedang marak dari dalam sebuah bilik.
"Suami saya cepat-cepat tutup suis utama elektrik dan angkut ayaq untuk padamkan api. Dalam 30 minit untuk padamkan api, nasib baik api terpadam hanya dengan kudrat kami berdua yang tak seberapa ni.
"Suami saya nak pi minta tolong orang lain tapi tak boleh sebab takut api melarat. ALLAH bantu bagi kami kekuatan untuk angkut 'ayaq'. Alhamdulillah," katanya.
Menurutnya, dia masih lagi trauma memikirkan kejadian berkenaan dan runsing memikirkan objek yang datang dari arah atas bumbung.
"Bumbung rumah pun berlubang disebabkan objek tu dan sampai sekarang saya tak tau apa benda tu. Tilam yang terbakar masih lagi berada di dalam bilik dan saya juga jumpa serpihan objek itu," katanya.
"Letupan tu sangat kuat sehinggakan jiran yang tinggal 500 meter dari rumah saya juga terdengar. Sampai ke hari ini saya masih simpan serpihan objek itu dan tunggu pihak berkuasa datang periksa," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian berkenaan.
"Kita masih lagi menjalankan siasatan dan maklumat berkaitan akan diberitahu kemudian," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!