RCI buku Tommy Thomas bukan kerana balas dendam - Azalina

Azalina
Azalina
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan, penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap memoir bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bukanlah bersifat balas dendam.

Sebaliknya beliau berkata, ia adalah saluran yang lebih baik untuk menyiasat segala dakwaan yang terkandung dalam buku berkenaan, berbanding pasukan petugas khas.

“Penubuhan RCI ini bukanlah untuk kita menyalahkan, menghukum atau memenjarakan. Saya telah menyebut dalam kenyataan saya sebelum ini bahawa tiada siapa yang mencari kesalahan sesiapa.

"Macam mana kita nak kata balas dendam kalau tak tahu apa yang hendak dibalas itu?” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Bengkel Reformasi Institusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Bersama Kementerian/Jabatan dan CSO/NGO Tahun 2023 bertempat di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di sini pada Selasa.

Azalina menegaskan, afidavit Tommy yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada awal bulan ini juga memperlihatkan Tommy sendiri menyoal kesahihan pasukan petugas itu.

Justeru beliau melihat penubuhan RCI adalah lebih baik untuk melihat gambaran yang lebih luas berkaitan dengan memoir berkenaan.

"RCI adalah struktur yang lebih baik kerana ia turut membenarkan pihak berkenaan membela diri,” jelasnya.

Pada 11 Januari lalu, Azalina memberitahu kerajaan telah bersetuju untuk menubuhkan RCI bagi meneliti secara holistik dakwaan-dakwaan dalam buku bertajuk 'My Story: Justice in the Wilderness' nukilan Tommy.

Artikel Berkaitan:

Penubuhan RCI itu adalah selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) yang terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Keputusan itu dibuat setelah meneliti syor-syor yang dicadangkan oleh Pasukan Petugas Khas yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Fong Joo Chung dalam laporannya dan Jemaah Menteri telah bersetuju antara lain, mengenai cadangan penubuhan RCI bagi meneliti perkara itu secara holistik.

Bagaimanapun, tindakan tersebut dikritik sesetengah pihak yang mendakwa ia lebih kepada politik balas dendam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!