Putera William bakal bertemu mangsa serangan Christchurch minggu depan
AUCKLAND - NEW ZEALAND. Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern mengesahkan Putera William bakal mengadakan lawatan ke negara itu minggu depan.
Duke of Cambridge yang mewakili nendanya Ratu Elizabeth II, ketua negara bagi New Zealand dijadual mengadakan lawatan dua hari bermula 25 April bertujuan untuk bertemu mangsa serangan pengganas di bandar Christchurch pada bulan lalu serta pasukan penyelamat yang terlibat dalam insiden terbabit.
"Kami mengalu-alukan kunjungan Putera William dan ia pastinya akan menceriakan mangsa yang terlibat.
"Putera William sememangnya mempunyai hubungan rapat dengan New Zealand terutamanya bandar Christchurch, kunjungannya kali ini membuka peluang untuk memberi penghormatan kepada mangsa serangan tragedi itu dan pada masa sama menzahirkan sokongan kepada komuniti tempatan dan rakyat New Zealand," kata Ardern.
Terdahulu, kerabat diraja Britain turut melahirkan rasa simpati ekoran serangan pengganas warga Australia, Brenton Tarrant yang meragut 50 nyawa dan mencederakan berpuluh yang lain pada 15 Mac lalu. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!