Tempoh 50 hari masih terlalu awal nilai Kerajaan Perpaduan
JOHOR BAHRU - Masih terlalu awal untuk menilai pencapaian Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengambil alih tampuk pemerintahan selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
Naib Pengerusi II Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang memasuki tempoh 50 hari adalah masa yang singkat dan tidak banyak usaha dapat dilakukan dalam tempoh itu.
"Ini (dakwaan Kerajaan Perpaduan tidak menyelesaikan isu rakyat) adalah satu kenyataan yang tiada merit. Kerajaan Perpaduan baru mengambil alih negara tidak sampai tiga bulan dan kini sedang berusaha memulihkan ekonomi dan menangani masalah rakyat.
"Kita kena adil dalam hal ini, berikan sedikit masa kepada kerajaan mentadbir negara dan menjaga kebajikan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan limau sempena Tahun Baharu Cina kepada media Johor di sini pada Selasa.
Turut hadir, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Pada Selasa, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal menyifatkan tempoh 50 hari pentadbiran Anwar sebagai tidak memberangsangkan, tiada kesungguhan menyelesaikan isu semasa dan lebih berdrama daripada bekerja.
Dr Sahruddin mendakwa, Kerajaan Perpaduan yang ditunjangi Pakatan Harapan (PH) dan BN tiada kesungguhan menyelesaikan masalah rakyat seperti yang dijanjikan dalam manifesto masing-masing.
Antaranya kata bekas Menteri Besar Johor itu, melibatkan isu kos sara hidup, masalah bekalan terutama telur ayam masih tiada di pasaran selain keputusan kerajaan yang sering berubah-ubah.
Mengulas lanjut, Wee Tse menafikan Presiden PKR itu berdrama sebaliknya yakin Perdana Menteri sedang melakukan yang terbaik ketika ini.
Ahli Parlimen Tebrau itu berkata, sejak menjadi Perdana Menteri sehingga hari ini, Anwar sudah dapat menjimatkan RM6 bilion wang rakyat selain bertindak mengekalkan takrif elektrik.
"Beliau juga diterima baik di seluruh dunia. Dunia menghargai dan memujinya, ini menunjukkan imej dan standard tinggi yang dimiliki Datuk Seri Anwar di peringkat global," katanya.
Mengenai sindiran Dr Sahruddin sekiranya Kerajaan Perpaduan tidak mampu mentadbir serta masih berlagak seperti pembangkang dan disebabkan itu perlu menyerahkan kuasa kepada PN untuk kembali di Putrajaya, beliau berkata:
"Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah Perdana Menteri pertama mengisytiharkan darurat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semata-mata untuk berkuasa sekali gus mengheret rakyat dalam kesusahan. Ini mengakibatkan ekonomi negara pada masa itu rosak teruk," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!