Bantahan awal petisyen kerusi Masjid Tanah pada 31 Januari
MELAKA - Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 31 Januari bagi memutuskan bantahan awal petisyen pilihan raya yang difailkan oleh calon Barisan Nasional (BN) untuk membatalkan kemenangan Datuk Mas Ermieyati Samsudin di Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam Mohd Faizi Che Abu dan Ahmad Nazrin Abu Bakar, yang mewakili Mas Ermieyati, serta Datuk Khairul Abd Kadir dan Wan Hamidah Wan Ismail, yang mewakili Abdul Hakim Abdul Wahid.
Pada 3 Januari lepas, Abdul Hakim memfailkan petisyen itu atas dakwaan berlaku sogokan berbentuk wang dan jamuan bagi meraih undi pada PRU15.
Bantahan awal itu, yang difailkan oleh Mas Ermieyati sebagai responden, antara lain mendakwa petisyen tersebut difailkan di luar masa ditetapkan di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Selain itu, Abdul Hakim selaku pempetisyen didakwa melakukan kesilapan kerana tidak menamakan Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya dalam petisyen tersebut.
Pada PRU15, Mas Ermieyati (PN-Bersatu) menang dengan majoriti 4,411 undi dalam pertandingan empat penjuru menewaskan Abdul Hakim, Mutalib Uthman (Muda) dan Handrawirawan Abu Bakar (GTA-Pejuang). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!